Kemenangan BN Mandat Demi Kestabilan Johor – Wan Rosdy
JOHOR BAHRU, 12 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan rasa syukur atas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas gabungan itu berjaya memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau yang berada di Pejabat UMNO Johor bersama kepimpinan Barisan Nasional bagi mengikuti perkembangan kiraan undi malam tadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat positif, bukan sahaja kepada negeri Johor malah kepada Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional termasuk dari Pahang yang bertungkus-lumus sepanjang kempen dan hari pengundian.
Menurut beliau, semua kawasan angkat yang diselia oleh jentera dari Pahang berjaya mencapai kemenangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui pentadbiran negeri demi memastikan kestabilan politik, kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus diperkukuhkan. – UMNO Online
