BN Menang Besar PRN Johor, Dr Asyraf Sifatkan Amanah

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 selepas gabungan itu berjaya memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, kemenangan tersebut bukanlah semata-mata hasil kekuatan parti, sebaliknya dengan izin dan pertolongan Allah SWT serta hasil pengorbanan seluruh jentera parti yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, penghargaan setinggi-tinggi turut diberikan kepada seluruh jentera UMNO dan BN di semua peringkat termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, bahagian, cawangan, petugas serta sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan parti.

“Saya sendiri menyaksikan kesungguhan sahabat-sahabat di lapangan yang sanggup berkorban masa bersama keluarga, mengharungi panas dan hujan demi memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor dapat diteruskan,” katanya.

Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan dan kebersamaan beliau sepanjang menghadapi pilihan raya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas usaha dan komitmen menerajui agenda pembangunan negeri serta menyantuni rakyat Johor.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada BN.

Katanya, kemenangan tersebut bukan alasan untuk berbangga, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab melalui kerja keras, khidmat terbaik dan komitmen berterusan demi kepentingan rakyat.

Beliau turut menghargai pengorbanan seluruh jentera BN dari seluruh negara yang berkampung di Johor sepanjang kempen, sambil menyifatkan mereka sebagai wira dan wirawati di sebalik kemenangan besar tersebut.

“Insya-Allah, Barisan Nasional akan terus memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor terus dipacu demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO