Kemenangan BN Johor Amanah Besar Untuk Terus Berkhidmat – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu sejarah membanggakan yang hadir bersama amanah besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, kemenangan tersebut bukan untuk dibanggakan, sebaliknya menjadi tanggungjawab kepada kepimpinan BN untuk bekerja lebih keras demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Pada malam ini, BN telah mencipta satu sejarah yang cukup membanggakan, namun bukan sekali-kali untuk mendabik dada. Kemenangan ini adalah amanah untuk terus berkhidmat dan berjuang demi Bangsa Johor,” katanya.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya bertungkus-lumus bersama jentera parti sepanjang kempen PRN.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan MCA, MIC serta parti-parti komponen lain yang bersama-sama menggembleng tenaga sehingga BN berjaya memperoleh mandat besar daripada rakyat Johor.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah kemenangan bersama yang mencerminkan semangat perpaduan dalam gabungan BN.

“Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan insya-Allah kita akan terus bekerja dengan lebih gigih serta melakukan yang terbaik untuk Bangsa Johor Darul Takzim,” katanya lagi kepada media. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO