Kemenangan Besar BN Di Johor Adalah Amanah Rakyat – Azalina

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai mandat jelas daripada rakyat untuk meneruskan kestabilan, kemajuan serta pentadbiran yang berkesan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat Johor.

“Alhamdulillah, kemenangan besar Barisan Nasional dalam PRN Johor merupakan mandat jelas rakyat untuk meneruskan kestabilan, kemajuan dan pentadbiran yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi Johor, jentera parti serta pasukan penerangan dan komunikasi strategik yang telah bekerja dengan penuh disiplin,
tersusun dan berhemah sepanjang kempen pilihan raya.

Menurut beliau, pendekatan kempen positif yang dibawa BN berjaya memenuhi kehendak rakyat yang mahukan penyelesaian terhadap pelbagai isu, bukannya politik kebencian.

“BN memilih kempen positif kerana rakyat mahukan penyelesaian dan bukannya kebencian. Pendekatan ini juga serasi dengan algoritma media sosial masa kini yang lebih menggerakkan kandungan positif berbanding kandungan negatif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan penting dalam landskap politik semasa, khususnya dalam memahami data, sentimen rakyat dan algoritma media sosial bagi merangka strategi komunikasi yang lebih berkesan.

Beliau turut memaklumkan bahawa AIRA (AI Chatbot BN) telah membantu pengundi mendapatkan maklumat asas mengenai calon, manifesto serta tawaran yang dibawa oleh Barisan Nasional sepanjang kempen.

Pada masa sama, Azalina menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas kepimpinan yang disifatkan jelas serta tersusun sehingga membawa kepada kemenangan tersebut.

Beliau berkata, keputusan PRN Johor turut membuktikan bahawa BN kekal sebagai sebuah gabungan politik yang mempunyai keupayaan mentadbir, mengurus serta menyusun strategi bagi meraih keyakinan rakyat.

“Keputusan ini membawa satu isyarat yang nyata bahawa Barisan Nasional bukan kekuatan yang boleh dipandang ringan. Kita tahu mengurus, kita tahu mentadbir dan kita tahu menyusun kemenangan,” katanya.

Azalina juga menegaskan kemenangan itu tidak seharusnya diraikan secara berlebihan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk BN terus memperkukuh khidmat kepada rakyat termasuk di peringkat Persekutuan.

“Namun kemenangan ini bukan untuk dibanggakan secara berlebihan. Ia adalah amanah untuk kita bekerja dengan lebih baik, lebih kuat dan lebih bersama. Terima kasih Bangsa Johor. Kini masanya untuk BN terus berkhidmat,” ujar beliau lagi. –

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO