PRN Johor: Onn Hafiz Tunai Amanah Sebagai Pengundi

SIMPANG RENGGAM, 11 Julai – Menteri Besar Johor yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi antara individu terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam sebaik proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula pagi ini.

Beliau tiba kira-kira jam 8.10 pagi dan memasuki pusat pengundian bagi membuang undi.

Suasana di pusat pengundian berkenaan berlangsung tenang dan teratur dengan para pengundi hadir secara berperingkat bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Onn Hafiz berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Nor Hafiz Roslan dalam pertandingan satu lawan satu.

Beliau mempertahankan kerusi DUN Machap yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri 2022 dengan majoriti 6,543 undi.

Seramai 35,206 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Machap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, manakala 27 Jun 2026 lalu merupakan hari penamaan calon yang menyaksikan pertandingan bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO