Pilih BN, Semakin Memuncak Di Seluruh Johor – Akmal Saleh

TANJUNG SURAT, 10 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata gelombang rakyat di Johor kini jelas memihak kepada BN.

Menurutnya, sepanjang dua minggu tempoh berkempen, sambutan rakyat terhadap BN begitu luar biasa dan menjadi petanda bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta kepimpinan yang terbukti mampu membawa kemajuan kepada Johor.

“Alhamdulillah, kita melihat sepanjang dua minggu berkempen di PRN Johor, respons rakyat sangat-sangat positif. Ramai yang sebelum ini tidak mengundi BN kini merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan sokongan kepada parti tersebut.

“Setiap kali program kempen yang hadiri, bermula dari hari pertama sehingga hari terakhir, sambutan rakyat begitu luar biasa dengan kehadiran yang penuh dan meriah. Ini membuktikan rakyat mahukan kestabilan dan kepimpinan yang mampu membawa kemajuan kepada Johor.

“Saya berharap momentum luar biasa ini akan diterjemahkan dalam peti undi. Jangan sekadar hadir ke ceramah dan menunjukkan sokongan, tetapi buktikan dengan satu undi untuk BN,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Akmal, masa depan Johor kini terletak di tangan rakyat dan mereka tidak wajar membiarkan negeri berkenaan dijadikan medan percubaan politik oleh pihak tertentu yang hanya hadir ketika musim pilihan raya.

“Kepada lebih empat juta rakyat Johor, keluarlah mengundi. Masa depan negeri ini berada di tangan rakyat. Jangan biarkan Johor menjadi medan eksperimen politik pihak yang hanya muncul ketika musim pilihan raya dan hilang selepas memperoleh undi.

“Apabila tiba di pusat pengundian, pastikan pangkah BN demi sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat serta meneruskan agenda pembangunan Johor,” katanya lagi.

Dalam masa sama Akmal memesan kepada seluruh pengundi agar membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan mengambil kira rekod serta prestasi sesebuah parti dalam mentadbir.

“Kepada semua pengundi, kita sudah mempunyai rekod dan pengalaman untuk dinilai. Dulu mungkin pelbagai janji ditaburkan, namun hari ini kita melihat sebahagian besar janji itu hanya tinggal janji.

“Jangan biarkan diri anda ditipu untuk kali yang kedua. Buatlah pilihan yang bijak demi masa depan negeri dan rakyat. Undilah BN yang mempunyai pengalaman, kestabilan dan rekod perkhidmatan yang terbukti,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO