PRN Johor: Pilih BN, Tolak Politik Kebencian – KJ
JOHOR BAHRU, 10 Julai – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyeru semua pihak khususnya Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang supaya menghentikan politik kebencian serta tidak memainkan sentimen perkauman dan agama dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, kempen pilihan raya seharusnya berlandaskan tawaran dan rekod pencapaian, bukannya dengan menimbulkan ketakutan atau membangkitkan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Cukup-cukuplah dengan politik kebencian. Jangan tiupkan api perkauman dan agama dalam kempen di negeri Johor,” katanya ketika ketika berucap pada Program Bersama Generasi Kempas di Taman Cempaka, Johor Bahru, malam tadi.
Menurut beliau, rakyat Johor perlu menilai rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkannya sebagai pemimpin muda yang disenangi rakyat serta mempunyai wawasan jelas untuk membawa Johor menjadi negeri maju.
Katanya, sepanjang pentadbiran Onn Hafiz, Johor mencatat perkembangan ekonomi yang memberangsangkan termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peningkatan pelaburan masuk ke negeri itu yang tertinggi dalam negara.
“Kalau dapat pendapatan yang tinggi, kita agihkan kepada rakyat. Yang penting rakyat Johor mendapat kesejahteraan,” katanya.
Khairy berkata, walaupun ada pihak cuba mendakwa kejayaan Johor adalah hasil usaha kerajaan pusat, perkara utama adalah manfaat tersebut akhirnya kembali kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan kempen yang hanya menyerang peribadi pemimpin atau mengulang isu lama tanpa membawa penyelesaian kepada rakyat.
“Kalau tiada modal untuk berkempen, jangan bangkitkan isu yang hanya mahu mencetuskan kebencian. Rakyat Johor mahukan pembangunan, pekerjaan dan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan BN sebagai parti yang berkempen dengan membawa tawaran serta rekod perkhidmatan, bukan dengan janji yang sukar dilaksanakan.
Justeru, beliau menyeru rakyat Johor memberikan sokongan kepada BN pada hari pengundian esok, 11 Julai bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz.
“Cetuskannya gelombang biru di Johor. Jadikan kemenangan BN di Johor sebagai permulaan kepada siri kebangkitan BN di negeri-negeri lain,” katanya lagi. – UMNO Online
