Politik Kebencian Bukan Budaya BN, Pilihlah Kestabilan – Dr Zambry

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan politik kebencian atau menjadikan fitnah sebagai senjata untuk meraih sokongan, sebaliknya terus menumpukan usaha membina kestabilan serta membawa pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, budaya memburukkan lawan dan menyebarkan kebencian bukan pendekatan BN walaupun terdapat pihak yang terus memainkan pelbagai isu bagi menyerang gabungan itu.

Menurut beliau, BN memilih untuk bertemu rakyat dengan membawa rekod pencapaian serta perancangan masa depan, bukannya memainkan sentimen yang memecah-belahkan masyarakat.

“Kita bukan parti yang pandai memburukkan orang atau menyebarkan fitnah. Kita bercakap kepada rakyat tentang apa yang mahu kita lakukan dan apa yang telah kita laksanakan.

“Ada pihak mendakwa BN sudah hilang rasional, sedangkan merekalah yang memainkan politik ketakutan dan cuba menimbulkan kebencian. Dalam BN, kita tidak mengamalkan politik seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Generasi Kempas di Taman Cempaka, Johor Bahru, malam tadi.

Dalam perkembangan terbabit, Zambry berkata, kehadiran lebih 3,000 peserta pada program berkenaan turut membuktikan rakyat semakin matang dalam menilai politik berasaskan fakta dan prestasi, bukannya fitnah atau hasutan.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan BN adalah memastikan negara dan Johor terus menikmati kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan ekonomi, pelaburan serta kesejahteraan rakyat.

Generasi Kempas

“Kita bekerja untuk membina sebuah negara yang stabil. Kita tidak mahu menghuru-harakan negara kerana politik kebencian.

“Pada 11 Julai nanti, pastikan kita keluar mengundi BN dan memberikan sokongan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi. Jangan korbankan pemimpin muda ini. Teruskan mandat kepada BN demi kestabilan dan masa depan Johor,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini ialah calon BN DUN Perling, Pannir Selvam; calon BN DUN Kempas, Datuk Ramli Bohani; Pengerusi MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Khairy Jamaluddin serta kepimpinan komponen BN serta masyarakat setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO