PRN Johor: Aznan Buat Pecutan Akhir, Terus Santuni Rakyat

TANJUNG SURAT, 10 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin optimis dengan sokongan rakyat menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), berdasarkan sambutan dan maklum balas positif yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau yang juga penyandang DUN Tanjung Surat berkata, hanya tinggal beberapa jam sebelum tirai kempen ditutup dan telah pun menjelajah hampir keseluruhan kawasan Tanjung Surat bagi mendengar sendiri suara serta harapan rakyat terhadap BN.

“Saya sudah bergerak ke semua tempat dalam kawasan DUN Tanjung Surat untuk melihat sendiri harapan rakyat terhadap BN, dan nampaknya sokongan yang diterima amat positif. Saya akan terus turun padang dan jika masih ada satu atau dua kawasan yang belum sempat dikunjungi, akan cuba selesaikan sebaik mungkin.

“Kita juga mempunyai beberapa program bersama sahabat-sahabat dari pusat untuk menyantuni lebih ramai rakyat pada hari terakhir kempen sebelum hari pengundian pada Sabtu ini,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas isu yang dibangkitkan sepanjang kempen, Aznan berkata terdapat beberapa perkara yang cuba dijadikan modal oleh pihak lawan, namun semuanya telah pun dijelaskan dan sebahagiannya memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

“Alhamdulillah, isu-isu yang dibangkitkan di Tanjung Surat telah saya sentuh dan bawa ke peringkat kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut. Ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dengan segera kerana memerlukan tempoh tertentu.

“Adat bertanding, pasti ada pihak yang cuba membangkitkan persepsi kononnya wakil rakyat tidak menjalankan tugas. Namun saya melihat pertandingan ini secara positif dan yang paling penting, rakyat memahami serta mengetahui apa yang telah dilakukan sepanjang berkhidmat di DUN Tanjung Surat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aznan turut menyeru seluruh pengundi Tanjung Surat supaya keluar mengundi lebih awal dan menjaga kesihatan menjelang hari pengundian.

“Saya menasihatkan semua pengundi supaya menjaga kesihatan dalam tempoh dua hari ini, lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu. Keluarlah mengundi pada awal pagi dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Jika rakyat Tanjung Surat mahu saya terus kekal sebagai ADUN Tanjung Surat, berilah sokongan kepada calon nombor dua, calon yang memahami dan mengerti denyut nadi rakyat Tanjung Surat,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO