Undilah Dengan Bijaksana, Pilih BN Demi Masa Depan Johor – Latif Bandi
MERSING, 10 Julai – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Abdul Latif Bandi menyeru rakyat agar membuat pilihan yang bijaksana pada hari pengundian dengan terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) demi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan.
Jelasnya, sepanjang sepenggal pentadbiran BN di Johor, rakyat telah menikmati pelbagai manfaat hasil pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kemudahan asas serta peningkatan sektor pendidikan.
“Mengundilah dengan bijaksana, pilih yang terbaik. Kita telah melalui sepenggal bersama BN di negeri Johor ini dan rakyat menikmati pelbagai faedah hasil pertumbuhan ekonomi.
“Hanya BN yang mampu membawa kestabilan politik, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta memastikan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasakan.
“Dengan kestabilan yang dimiliki, Johor mampu meneruskan agenda demi menjamin masa depan negeri yang lebih makmur, berdaya saing dan sejahtera untuk seluruh rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata, antara inisiatif yang membuktikan komitmen kerajaan negeri ialah pelaksanaan ‘Sekolah Bangsa Johor’ yang kini telah dimulakan di beberapa daerah dan dijangka diperluaskan ke seluruh negeri.
“Kita sudah ada Sekolah Bangsa Johor yang telah dimulakan di beberapa daerah. Harapan kita, inisiatif ini dapat diperluaskan ke setiap daerah. Namun kesinambungan agenda ini memerlukan Johor terus ditadbir oleh BN,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Abdul Latif mengajak seluruh rakyat Johor supaya terus memberikan sokongan kepada BN bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan sehingga mencapai sasaran Maju Johor 2030.
“Justeru, pilihlah BN demi menjayakan agenda Maju Johor 2030. Marilah kita bersama-sama memajukan dan menyayangi Johor demi masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya. – UMNO Online
