Berbaki Masa, Alhamdulillah Peningkatan Kian Positif – Azah
PONTIAN, 10 Julai – Sambutan rakyat terhadap kempen Barisan Nasional (BN) di DUN Pulai Sebatang dilihat terus meningkat menjelang hari terakhir berkempen, sekali gus meningkatkan keyakinan jentera untuk terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen.
Calon BN DUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan, berkata baki masa yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyantuni seramai mungkin pengundi menerusi kempen dari rumah ke rumah serta di kawasan-kawasan taman perumahan.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, sokongan terhadap BN terus menunjukkan peningkatan dan memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera parti.
“Walaupun hanya berbaki sehari lagi sebelum hari pengundian, kami tidak akan mengendurkan usaha. Jentera semakin bersemangat dan akan terus fokus bagi memastikan mesej serta agenda BN sampai kepada setiap pengundi,” katanya.
Jelasnya, sepanjang lebih lima tahun pentadbiran kerajaan BN di Johor, pelbagai kejayaan berjaya direalisasikan termasuk aspek pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan bantuan berbentuk subsidi, malah turut memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti penyediaan rumah, bantuan kepada usahawan, lesen perniagaan, peluang kepada golongan muda serta pelbagai program pembangunan yang memberi impak kepada Bangsa Johor.
“Justeru, saya menyeru pengundi supaya tidak lagi ragu-ragu dalam membuat pilihan. Berilah mandat sekali lagi kepada Barisan Nasional untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya. – UMNO Online
