Semangat Perjuangan Parti Kunci Kemenangan BN Di Endau Dan Tenggaroh

MERSING, 9 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan memberikan peluang kepada calon-calon di kawasan tertentu dibuat atas semangat perjuangan parti dan demi memperkukuhkan kembali kedudukan UMNO dan BN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, jiwa dan semangat perjuangan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Awi’, tidak pernah luntur walaupun pernah mewakili parti lain sebelum ini.

“Jiwa Kak Awi dari dahulu hingga sekarang ialah jiwa UMNO. Darah beliau darah UMNO. Beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, cuma pernah menjadi wakil rakyat atas warna parti yang lain dan bukan atas kehendaknya.

“Atas semangat ‘Rumah Bangsa’ dan kesetiaan yang ditunjukkan, terbuka hati untuk memberi peluang semula kepada Kak Awi mempertahankan perjuangan UMNO.

“Beliau telah membuktikan keupayaannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baik dan mampu menjadi wakil rakyat yang lebih baik sekiranya diberikan mandat sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan jentera BN empat peringkat di Restoran Nusantara Endau.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman; Calon BN bagi DUN Endau, Alwiyah Talib; Calon BN bagi DUN Tenggaroh Mohd Youzami Yusuf dan jentera empat peringkat.

Tambah Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, memberi jaminan bahawa seluruh kepimpinan dan jentera UMNO/BN Bahagian Mersing akan memberikan sokongan penuh kepada Kak Awi sekali gus menepis sebarang kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya sabotaj dalam parti.

“Saya akan pastikan seluruh jawatankuasa UMNO Bahagian dan semua peringkat jentera BN memberikan dukungan sepenuhnya kepada Kak Awi,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut menjelaskan keputusan mengembalikan kerusi DUN Tenggaroh kepada UMNO dibuat selepas menerima desakan berterusan daripada akar umbi parti di kawasan itu.

“Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzami Yusuf atau mesra dipanggil Cik Mi, beberapa kali menyuarakan hasrat agar kerusi berkenaan diserahkan semula kepada UMNO.

“Setiap kali mesyuarat cawangan dan bahagian, mereka mendesak supaya Tenggaroh diberikan kembali kepada UMNO. Sebagai Presiden UMNO, jiwa saya ialah jiwa UMNO. Sebab itu Tenggaroh kita beri balik kepada UMNO dan bukannya kepada parti lain,” ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, sentiasa mengutamakan hierarki parti dengan memberikan peluang kepada ketua bahagian untuk bertanding dan memimpin perjuangan di kawasan masing-masing.

“Calon BN di Tenggaroh mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini.

“Cakap kuat itu bagus, tetapi apabila menang nanti, kerja mesti lebih kuat untuk rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO