Menteri UMNO/BN Penting Bela Rakyat – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 9 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan pengalaman yang dimiliki pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menerajui pelbagai kementerian menjadi aset penting dalam memastikan setiap keputusan kerajaan dibuat secara tepat serta memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian susulan makluman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa hasil desakan BN dan menteri-menterinya, pelaksanaan e-invois telah dipersetujui untuk dikaji semula.

Sehubungan itu, Ahmad menjelaskan bahawa, pengalaman mentadbir di peringkat kementerian membolehkan pemimpin UMNO/BN memberikan pandangan yang bernas dan praktikal dalam setiap mesyuarat Kabinet serta mesyuarat pasca-Kabinet.

Katanya, kehadiran menteri-menteri UMNO/BN yang berpengalaman amat diperlukan bagi memastikan dasar dan keputusan kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat serta mampu dilaksanakan dengan berkesan.

“Pengalaman memimpin dan berada di kementerian-kementerian menjadikan keputusan-keputusan yang dibuat lebih tepat dan menguntungkan rakyat.

“Kita memerlukan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang berpengalaman untuk memberikan pandangan yang bernas ketika mesyuarat Kabinet dan mesyuarat pasca-Kabinet supaya negeri boleh diperintah serta diurus tadbir dengan baik,” katanya.

Ahmad berkata, pengalaman mentadbir bukan sahaja membantu memperkukuh pentadbiran kerajaan, malah menjadi faktor penting dalam menjamin kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada calon-calon BN bagi memastikan negeri dipimpin oleh barisan pemimpin yang berpengalaman, berwibawa dan mampu membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi kerajaan.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selain semakan semula pelaksanaan e-invois yang dicadangkan BN, Kabinet turut bersetuju mengkaji semula dasar sumbangan dua peratus atas permintaan BN.

Pada masa sama, dasar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing juga diputuskan untuk dikaji semula. – UMNO Online 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO