Warga Felda Bukit Rokan Barat Nikmati Kemudahan Baharu Klinik Desa
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir meluahkan kesyukuran apabila usaha yang diperjuangkannya bagi menaik taraf Klinik Desa Felda Bukit Rokan Barat telah siap sepenuhnya.
Beliau berkata naik taraf tersebut berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat sekaligus menyediakan suasana yang lebih selesa serta kondusif.
“Alhamdulillah, satu lagi usaha yang telah saya perjuangkan akhirnya berjaya direalisasikan apabila kerja-kerja naik taraf Klinik Desa Felda Bukit Rokan Barat telah siap sepenuhnya.
“Jika dahulu keadaan klinik ini agak uzur, kini ia tampil dengan wajah baharu yang lebih selesa, ceria dan kondusif untuk kegunaan masyarakat. Kemudahan turut dipertingkatkan dengan pemasangan sistem penghawa dingin bagi memberikan keselesaan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan serta petugas kesihatan yang berkhidmat di klinik ini.
“Kemudahan kesihatan yang berkualiti amat penting bagi memastikan masyarakat luar bandar menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan selesa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohd Zaidy dalam pada itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Jempol atas keprihatinan serta kelulusan terhadap permohonan yang telah saya kemukakan.
Katanya kerjasama erat antara semua pihak membolehkan hasrat untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih selesa kepada penduduk Felda Bukit Rokan Barat direalisasikan.
“Insya-Allah, saya akan terus berusaha dan memperjuangkan keperluan rakyat, khususnya masyarakat di DUN Jeram Padang, agar lebih banyak pembangunan serta kemudahan awam dapat dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk.
“Semoga kemudahan yang telah dinaik taraf ini memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh masyarakat Felda Bukit Rokan Barat,” ujar beliau. – UMNO Online
