BN Wujudkan Lebih 32,000 Lot Generasi FELDA

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Usaha menyediakan kediaman untuk generasi kedua FELDA terus menjadi keutamaan apabila lebih 32,000 Lot Generasi FELDA telah diwujudkan di seluruh negara, dengan Pahang dan Johor merekodkan pencapaian tertinggi hasil komitmen kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelaksanaan dasar Lot Generasi diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perumahan kira-kira 112,000 keluarga peneroka FELDA di seluruh negara.

Menurut beliau, menyediakan sebuah rumah kepada setiap keluarga peneroka bukanlah suatu tugas yang mudah, justeru pendekatan mewujudkan Lot Generasi di atas tanah milik FELDA dilaksanakan tanpa menjejaskan tanah hak milik peneroka.

“Kita ada 112,000 peneroka di seluruh negara. Kalau setiap keluarga memerlukan satu lot untuk anak mereka, sudah tentu jumlah yang diperlukan amat besar. Sebab itu kita memperkenalkan dasar Lot Generasi menggunakan tanah FELDA, bukannya tanah milik peneroka. Lot peneroka tidak boleh disentuh,” katanya ketika berucap pada program bersama warga FELDA di sini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan dasar tersebut turut melibatkan pelbagai proses termasuk penukaran syarat penggunaan tanah, pecah lot serta pemberian hak milik sebelum ia dapat diserahkan kepada penerima.

Menurut Ahmad Shabery, daripada lebih 32,000 Lot Generasi yang diwujudkan, kira-kira 16,000 lot berada di Pahang manakala sebanyak 15,388 lot di Johor.

Katanya lagi, hampir 10,000 Lot Generasi di Johor telah memperoleh hak milik dan kini usaha diteruskan bagi membantu pemilik membina kediaman sendiri.

“Cabaran selepas mendapat lot ialah membina rumah. Ramai anak peneroka tidak mempunyai slip gaji untuk mendapatkan pinjaman bank, jadi kita perlu mencari kaedah bagi membantu mereka memiliki rumah di atas lot tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menghargai inisiatif kerajaan negeri Johor yang memperkenalkan Program Perumahan Prihatin Johor bagi membantu pemilik Lot Generasi merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berpandangan pencapaian penyediaan Lot Generasi di negeri-negeri yang diterajui Pakatan Harapan masih jauh lebih rendah berbanding negeri di bawah pentadbiran BN.

Beliau berkata, Negeri Sembilan yang mempunyai kira-kira 16,000 peneroka FELDA hanya merekodkan sekitar 100 Lot Generasi, berbeza dengan pencapaian di Johor dan Pahang.

“Kalau benar mahu membantu generasi peneroka, buktikan melalui tindakan. Johor dan Pahang telah menunjukkan komitmen yang jelas dengan menyediakan lebih 15,000 dan 16,000 Lot Generasi, sekali gus membuktikan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sentiasa mengutamakan kebajikan serta masa depan warga FELDA,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO