Tolak Fitnah, Beri Mandat Besar Kepada BN Johor

JOHOR BAHRU, 9 Julai – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengingatkan rakyat Johor agar tidak terpedaya dengan pelbagai fitnah dan serangan politik yang semakin memuncak menjelang hari pengundian, sebaliknya terus memberikan mandat kukuh kepada Barisan Nasional (BN) demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri.

Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini amat berbeza kerana empat gabungan parti yang bertanding masing-masing mempunyai kuasa dan pengaruh di peringkat nasional, sekali gus menjadikan kempen lebih tertumpu kepada usaha menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN yang telah mentadbir Johor.

“Hasrat mereka adalah untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap BN. Dalam tempoh beberapa hari terakhir ini, mereka akan berkata apa sahaja untuk mengelirukan rakyat. Jangan terpedaya dengan PH, PN mahupun parti-parti lain yang hanya mahu meraih sokongan melalui pelbagai dakwaan dan fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Ramah Mesra Bersama Pengundi sempena kempen PRN Johor, malam tadi, sambil menyeru seluruh jentera dan penyokong BN supaya terus mempertahankan keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran kerajaan negeri.

Hasni turut menolak dakwaan kononnya kepimpinan Johor tidak menghormati pihak lawan, sebaliknya menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengamalkan budaya politik yang matang dan inklusif.

“Di Dewan Undangan Negeri Johor, kita tidak memanggil mereka sebagai pembangkang, tetapi sebagai pengimbang kerana setiap wakil rakyat mempunyai idea dan pandangan yang boleh membantu menambah baik pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa semangat tersebut tidak boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan negeri melalui kempen berunsur fitnah dan tohmahan.

Dalam masa sama, Hasni menegaskan masa depan Johor terletak di tangan generasi muda yang bakal mencorakkan hala tuju negeri menuju status negeri maju.

Katanya, kerajaan BN telah menyediakan platform seperti Dewan Muda Johor bagi memberi ruang kepada anak muda mengemukakan idea, berbahas serta memahami proses demokrasi melalui konsep yang menyerupai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Orang muda perlu terus berkarya kerana merekalah yang akan menentukan rupa bentuk Johor pada masa depan. Jangan sampai segala yang telah kita bina diserahkan kepada mereka yang hanya mengejar populariti tanpa membawa penyelesaian kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan rakyat Johor supaya berikrar menghadiahkan kemenangan besar kepada BN pada PRN kali ini sebagai simbol keyakinan terhadap kepimpinan negeri.

Menurutnya, kemenangan besar BN di Johor bukan sahaja penting untuk memastikan agenda pembangunan negeri diteruskan, malah bakal menjadi pemangkin semangat kepada Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Johor mesti menjadi pencetus kebangkitan. Kemenangan besar BN di sini akan memberi mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu membawa kemajuan, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk menghadapi PRN di Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad bersama Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Hairi A. Malik serta kepimpinan bahagian serta jentera tempatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO