Ambil Iktibar Peristiwa 2018, Terus Dekati Rakyat Demi Kemenangan
PAGOH, 9 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Pagoh Datuk Ismail Mohamed menyeru rakyat Johor mengambil iktibar daripada pengalaman ketika BN tewas pada tahun 2018 lalu, sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah membuktikan komitmennya menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, ini berbeza ketika tahun 2018 apabila banyak program yang dijanjikan gagal direalisasikan.
“Rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Dahulu banyak janji ditaburkan, tetapi akhirnya tidak dapat dilaksanakan. Sebaliknya, kerajaan BN hari ini terus bekerja dan memperkenalkan pelbagai program yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang beberapa tahun pentadbiran Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang kini memasuki fasa keempat, sekali gus memastikan lebih ramai golongan yang sebelum ini tercicir turut menerima bantuan.
Ismail turut melahirkan keyakinan bahawa pentadbiran kerajaan negeri sekarang akan terus memperkenalkan lebih banyak program kebajikan selaras dengan peningkatan hasil negeri yang dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
“Saya penuh yakin Menteri Besar akan meneruskan segala perancangan yang telah disusun. Apabila pendapatan negeri terus meningkat setiap tahun, sudah tentu lebih banyak kelompok masyarakat akan dapat dibantu,” ujar Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa seluruh jentera BN khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dan DUN Bukit Kepong supaya tidak berasa selesa, sebaliknya terus memperkukuhkan gerak kerja mendekati pengundi sehingga hari pengundian.
“Jangan kita selesa. Terus turun padang, jumpa pengundi dan yakinkan mereka supaya terus bersama Barisan Nasional. Beritahu mereka bahawa segala bantuan dan program yang dibawa kerajaan negeri ini akan dapat diteruskan malah dipertingkatkan sekiranya rakyat terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Beliau turut menghargai pengorbanan jentera yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen dan percaya segala penat lelah itu akan dibalas dengan kemenangan sekiranya semua pihak terus bekerja bersungguh-sungguh.
“Memang saya tahu tempoh dua minggu ini amat memenatkan buat jentera, tetapi jika kita terus istiqamah dan bekerja keras, insya-Allah kita akan menikmati kemenangan apabila Barisan Nasional berjaya mempertahankan mandat rakyat nanti,” katanya. – UMNO Online
