PRN Johor: Politik Matang, Rekod Prestasi Jadi Sandaran Pilih BN – Nizar Zakaria
PAGOH, 9 Julai – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Nizar Zakaria yang juga Wakil Negeri Angkat Perak menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini dengan mengetepikan budaya membenci, menghina atau menyerang peribadi, sebaliknya bersaing secara sihat menerusi idea, manifesto dan rekod prestasi.
Beliau berkata, rakyat Johor sendiri mengetahui bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan seorang pemimpin muda yang bekerja bersungguh-sungguh serta mempunyai wawasan jelas untuk memajukan negeri.

“Bangsa Johor tahu Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi ialah seorang anak muda yang bekerja dan mempunyai wawasan. Janganlah ada pihak yang cuba memainkan sentimen kebencian atau mengheret politik kepada perkara yang tidak sihat. Itu bukan politik matang, sebaliknya kebudak-budakan,” katanya.
Menurut beliau, tugas utama seseorang wakil rakyat dan kerajaan yang diberi mandat ialah bekerja, menyelesaikan masalah rakyat serta mempertingkatkan pembangunan negeri dan negara, bukannya mencetuskan polemik yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.
“Tak perlulah bertempik, mengeluarkan kata-kata yang tidak manis, menyindir atau mengajak kepada perkara yang tidak baik. Kita berkempenlah secara sihat. Kalau ada manifesto, jual manifesto masing-masing dan biarlah rakyat membuat penilaian,” ujarnya.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan konsistensi dalam mentadbir Johor menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan.
Dalam masa yang sama, Nizar turut menyeru pengundi luar, khususnya anak-anak muda, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian demi menentukan masa depan negeri.
“Tugas mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia. Saya yakin pengundi luar dan anak-anak muda perlu balik mengundi serta membuat penilaian berdasarkan fakta dan rekod prestasi kerajaan negeri yang ada hari ini,” katanya.
Menurut beliau, kepimpinan Onn Hafiz telah melaksanakan pelbagai pelan pembangunan secara konsisten dan tersusun, di samping memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan yang menyentuh segenap lapisan masyarakat.
“Pelbagai bantuan telah diperkenalkan sehingga golongan seperti penggali kubur turut diberikan pengiktirafan. Ini menunjukkan kerajaan negeri mempunyai wawasan yang jelas. Apabila politik stabil dan ekonomi terus berkembang, hasilnya dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Beliau percaya rekod pentadbiran kerajaan negeri yang cemerlang akan terus menjadi asas kukuh kepada rakyat Johor untuk mengekalkan sokongan kepada BN demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan negeri. – UMNO ONLINE
