Youzami Diyakini Mampu Bawa Suara Rakyat Ke Peringkat Negeri – Wan Rosdy
TENGGAROH, 9 Julai – Hanya dua hari berbaki kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan melabuh tirainya, Barisan National (BN) giat memperhebat gerak kerja dan memburu setiap undi menjelang hari pengundian.
Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh supaya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Youzami Yusuf pada hari pengundian.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu amat yakin bahawa Youzami mempunyai kemampuan untuk menjadi wakil rakyat yang berkesan serta mampu membawa pelbagai isu dan keperluan penduduk Tenggaroh ke peringkat kerajaan negeri.
“Saya berharap supaya semua pengundi-pengundi di kawasan Tenggaroh ini memberi sokongan yang padu kepada calon DUN Tenggaroh, Youzami Yusuf.
“Saya sangat yakin dan optimis Youzami boleh menjadi seorang wakil rakyat yang membantu penduduk di kawasan ini serta membawa perkara-perkara penting untuk dibincangkan di peringkat negeri supaya segala permasalahan rakyat dapat didengari dan diselesaikan,” katanya di Dewan Serbaguna Tenggaroh Dua.
Beliau berkata demikian pada program Jalinan Ukhwah Mufakat Felda Pahang bersama warga Felda Tenggaroh, semalam.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi; calon BN bagi DUN Tenggaroh Mohd Youzami Yusuf dan jentera BN empat peringkat.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa Tenggaroh merupakan kubu kuat UMNO dan BN serta berharap momentum sokongan rakyat terhadap BN akan diterjemahkan menerusi kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kawasan Tenggaroh ini adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional. Saya harap pengundi-pengundi akan terus memberi sokongan dan kita memperoleh kemenangan dengan majoriti yang besar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wan Rosdy turut menasihati kepada seluruh pengundi DUN Tenggaroh agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah persepsi, hasutan dan fitnah yang dimainkan pihak lawan sepanjang kempen pilihan raya.
“Pengundi Tenggaroh jangan terpedaya dengan persepsi, hasutan dan fitnah yang dimainkan oleh pihak lawan. Apa yang penting, rakyat perlu menilai yang mana satu fakta, yang mana satu persepsi, yang mana satu fitnah dan yang mana satu isu sebenar yang memberi manfaat kepada mereka.
“Saya sangat yakin pengundi-pengundi di Felda Tenggaroh ini bijak, berpengalaman dan matang. Mereka mampu menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata,” ujarnya. – UMNO Online
