Pilih BN, Kekalkan Momentum Johor Maju 2030
KLUANG, 9 Julai – Pengundi Johor diseru mengekalkan mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Maju Johor 2030 dapat diteruskan tanpa gangguan demi manfaat seluruh rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerajaan negeri ketika ini telah mempunyai hala tuju dan pelan pembangunan yang jelas, justeru kesinambungan pentadbiran amat penting untuk memastikan segala perancangan dapat direalisasikan mengikut jadual.
Menurut beliau, tempoh empat tahun berbaki sebelum 2030 adalah fasa kritikal bagi melonjakkan Johor menjadi negeri maju.
“Kerajaan hari ini ibarat sebuah kenderaan yang sudah berada di gear empat. Selepas diberi mandat semula, ia hanya perlu meneruskan perjalanan ke gear lima untuk sampai ke destinasi Johor Maju 2030.
“Kalau bertukar kerajaan, ia umpama kereta baharu yang perlu bermula semula dari gear satu. Sudah tentu banyak masa akan diambil untuk menyusun semula perancangan,” katanya ketika berkempen di DUN Mahkota, semalam.
Beliau berkata, pelan pembangunan yang dirangka kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar telah disusun secara menyeluruh dan tidak meminggirkan mana-mana golongan.
“Blueprint Maju Johor 2030 telah dirancang dengan teliti. Manfaatnya akan dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, usia atau lokasi, termasuk masyarakat di kampung-kampung,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Azeez merayu agar rakyat Johor, termasuk anak-anak perantau yang pulang mengundi, memberikan sokongan kepada calon-calon BN demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Kita sudah hampir ke garisan penamat. Jangan kerana satu keputusan, kita terpaksa bermula semula. Berilah peluang kepada kerajaan sedia ada untuk melengkapkan pelan yang telah dirancang.
“Saya yakin jika mandat ini dikekalkan, rakyat Johor akan menikmati hasil pembangunan yang lebih menyeluruh menjelang tahun 2030,” katanya. – UMNO Online
