Kisah 10 Anak Yatim Perteguh Komitmen Wanita UMNO Sabah
JOHOR BAHRU, 8 Julai – Kisah sebuah keluarga Sabah yang kehilangan ibu sehingga meninggalkan 10 orang anak yatim menjadi antara detik paling menyentuh hati buat Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris sepanjang menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, pengalaman menziarahi keluarga tersebut mengukuhkan lagi tekad Wanita UMNO untuk terus memperjuangkan agenda kebajikan dan mendekati rakyat tanpa mengira musim pilihan raya.
“Saya benar-benar tersentuh apabila menziarahi sebuah keluarga Sabah di Johor yang kehilangan ibu tercinta, Allahyarhamah Emywati Binti Akmad, yang meninggal dunia pada 10 Disember 2024 pada usia 39 tahun, meninggalkan 10 orang anak,” katanya.

Beliau berkata, lebih menyayat hati apabila lapan daripada anak-anak berkenaan kini dibesarkan oleh nenek mereka di Johor, manakala dua lagi dijaga oleh bapa mereka di Lahad Datu selepas pasangan itu telah lama berpisah.
Jelas beliau, kisah berkenaan membuktikan masih ramai keluarga yang memerlukan perhatian, sokongan dan pembelaan agar kebajikan mereka terus terbela.
Noraini berkata, atas sebab itulah Program Ziarah Kasih Santuni Rakyat terus menjadi antara agenda utama perjuangan Wanita UMNO yang bukan sekadar dilaksanakan ketika kempen pilihan raya, sebaliknya menjadi komitmen berterusan untuk mendekati masyarakat.
“Program ini bukan sekadar dilaksanakan ketika musim pilihan raya, sebaliknya merupakan komitmen berterusan untuk mendekati rakyat, menyelami permasalahan mereka serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perhatian,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang kempen PRN Johor, Wanita UMNO bukan sahaja turun dari rumah ke rumah bertemu pengundi, malah mengambil kesempatan menziarahi golongan uzur, pesakit serta mereka yang memerlukan bantuan.
Malah katanya, pihaknya turut berhasrat mengenal pasti lebih ramai rakyat Sabah yang telah lama menetap di Johor agar mereka dapat disantuni melalui pendekatan lebih dekat dan bersifat kekeluargaan.
“Kadangkala, kehadiran seseorang yang memahami asal usul, budaya dan cabaran kehidupan mereka memberi kekuatan yang tidak mampu dinilai dengan wang ringgit,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan usaha tersebut bukan bertujuan menafikan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor, sebaliknya melengkapkan usaha kebajikan sedia ada dengan sentuhan yang lebih dekat kepada komuniti Sabah di perantauan.
Dalam masa sama, Noraini yakin sekiranya rakyat Johor sekali lagi memberikan mandat kepada Barisan Nasional, lebih banyak inisiatif kebajikan dapat diperkasakan demi membantu golongan yang memerlukan, termasuk rakyat Sabah yang menetap di negeri itu.
“Kerajaan yang stabil akan membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan secara tersusun, cepat dan menyeluruh.
“Bagi Wanita UMNO, politik bukan sekadar meraih sokongan, tetapi menyantuni kehidupan rakyat. Selagi masih ada insan yang memerlukan, selagi itulah kami akan terus turun padang, mendengar, membantu dan membawa suara mereka kepada kerajaan,” katanya. – UMNO Online
