Kerajaan Perlu Perjelas Pendirian Terhadap Ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas pendirian terhadap ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, kata Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Ini kerana katanya, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada kali ini dilihat terus memberi perhatian terhadap isu pelarian dan turut menganjurkan program yang melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Hal ini termasuklah pendedahan kepada para peserta mengenai kehidupan sebagai pelarian. Tambahan pula, kejohanan debat anjuran SUHAKAM juga turut memilih usul mengenai ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.
“Justeru itu, saya ingin membangkitkan persoalan kepada kerajaan. Adakah ini bermakna atau merupakan petanda bahawa kerajaan sedang bergerak secara perlahan-lahan ke arah penerimaan ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951?
“Jika jawapannya tidak, saya mohon supaya kerajaan menyatakannya dengan jelas kerana rakyat berhak mengetahui pendirian kerajaan. Jangan dibiarkan dasar negara berubah secara beransur-ansur melalui program dan naratif tanpa penjelasan rasmi kepada Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Parlimen sebentar tadi.
Ujarnya, rakyat Malaysia sudah tentunya mahukan sempadan negara terus dihormati.
“Apabila bercakap soal nilai kemanusiaan, sudah tentunya rakyat di Malaysia ini cukup prihatin. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga mahukan keselamatan negara dipertahankan.
“Rata-rata rakyat Malaysia di seluruh negara, sudah tentunya mahu sempadan negara terus dihormati. Jangan sampai disebabkan perjuangan atas nama hak asasi, akhirnya rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa menanggung akibat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada pendirian SUHAKAM dalam isu-isu sensitif berkaitan agama Islam akan dirujuk kepada pihak berkuasa agama ataupun tidak.
“Sebagai orang Islam, saya juga ingin menyentuh satu perkara yang amat penting. Dalam laporan ini ada menyebut bahawa SUHAKAM sedang memperkukuh agenda Islam dan Hak Asasi Manusia melalui lawatan ke pejabat-pejabat mufti, penulisan khutbah Jumaat dan pembangunan bahan berkaitan Hadis 40 hak asasi manusia.
“Saya amat mengalu-alukan segala usaha ini tetapi saya ingin mendapatkan penjelasan. Adakah semua pendirian SUHAKAM dalam isu-isu sensitif berkaitan agama Islam selepas ini akan dirujuk kepada pihak berkuasa agama? Atau kerjasama dengan pejabat mufti hanyalah sekadar memenuhi tuntutan program tahunan?” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa kerajaan untuk mewujudkan Majlis Penasihat Syariah atau mekanisme tetap yang boleh memberikan pandangan terhadap cadangan atau modul SUHAKAM apabila melibatkan isu-isu berkaitan agama Islam.
“Perkara ini cukup penting untuk memastikan bahawa tafsiran hak asasi hendaklah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Hal ini kerana bagi umat Islam di dalam negara ini, Islam bukanlah hanya sekadar satu hak tetapi Islam merupakan asas kepada identiti negara,” katanya lagi. – UMNO Online
