Pengundi Perlu Pilih Berasaskan Rekod, Tolak Persepsi – Tok Jun

PARIT SULONG, 8 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan menyeru pengundi agar membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan dan prestasi calon, bukannya terpengaruh dengan kempen berbentuk serangan peribadi yang dimainkan pihak lawan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mesra dengan panggilan Tok Jun di kawasan, beliau berkata, kempen yang matang seharusnya memberi ruang kepada rakyat menilai hasil kerja dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini, bukan dipengaruhi sentimen yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Saya berharap pengundi membuat pertimbangan yang terbaik dengan melihat rekod khidmat yang telah kita laksanakan, bukan hanya menilai berdasarkan kempen dua minggu ini. Apa yang telah dilakukan selama ini sudah cukup membuktikan bahawa Barisan Nasional layak diberikan mandat untuk terus berkhidmat di DUN Sri Medan,” katanya.

Menurut beliau, pengundi juga perlu berwaspada terhadap sebarang maklumat yang tidak sahih serta tidak menerima bulat-bulat dakwaan daripada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

Beliau berkata, dengan lebih 50 peratus pengundi di Sri Medan terdiri daripada golongan muda, mereka mempunyai peranan penting dalam menentukan masa depan kawasan itu dan diharap membuat keputusan secara bijaksana berpandukan fakta serta sumber yang sahih.

“Saya yakin pengundi Sri Medan cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar mampu mewakili mereka bagi penggal akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkurnain memaklumkan gerak kerja kempen BN kini semakin tersusun apabila memasuki fasa kedua kempen, dengan sokongan rakyat terhadap calon BN di Sri Medan menunjukkan perkembangan yang semakin positif.

Beliau optimis sasaran untuk mendekati pengundi putih serta memastikan pengundi luar pulang mengundi mampu dicapai sebelum hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) agar tidak leka walaupun Sri Medan sering dianggap sebagai antara kubu kuat BN.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan selesa. Minggu kedua kempen ini kita perlu melipatgandakan usaha, terus turun padang, mendekati pengundi dan memastikan setiap penyokong keluar mengundi demi memastikan kemenangan Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO