Wanita UMNO Bukti Politik Khidmat, Bukan Sekadar Janji Pilihan Raya

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Jentera Wanita UMNO bukan sekadar turun berkempen meraih undi, sebaliknya memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati hak mereka.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz Telahah berkata, menerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia yang dipengerusikannya, gerak kerja dilaksana sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan bersifat bermusim, sebaliknya diteruskan walaupun selepas pilihan raya berakhir.

Menurut beliau, pasukan yang digerakkan ke seluruh kawasan kampung dan bandar bukan sahaja menyantuni rakyat dari rumah ke rumah, malah turut membawa pasukan kesihatan bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan, mengenal pasti keperluan penduduk serta membantu mendaftarkan mereka ke dalam pelbagai skim bantuan seperti e-Kasih, zakat dan saluran kebajikan lain yang disediakan kerajaan.

“Apabila kami turun padang dari rumah ke rumah, saya dapati masih ramai yang tidak tahu bantuan apa yang sebenarnya disediakan kerajaan. Mereka tidak mendapat maklumat yang tepat.

“Sebab itu sambil menjalankan pemeriksaan kesihatan, kami mengumpul data dan membantu mereka membuat pendaftaran mengikut keperluan. Yang lebih penting, kerja ini tidak berhenti selepas pilihan raya kerana kami akan membuat susulan sehingga masalah mereka mendapat perhatian melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata, semua maklumat yang dikumpulkan akan diteruskan kepada wakil rakyat yang dipilih atau jentera Wanita UMNO bagi memastikan setiap permohonan bantuan benar-benar mendapat tindakan.

Menurutnya yang juga Ketua Wanita UMNO Selayang, Wanita UMNO berperanan sebagai jambatan yang memudahkan rakyat mendapatkan bantuan kerajaan, sekali gus membuktikan segala janji dan usaha yang dilaksanakan bukan sekadar retorik ketika musim pilihan raya.

“Ini bukan gerak kerja bermusim. Kami turun padang sepanjang masa, menyampaikan maklumat, membantu rakyat memahami hak mereka dan memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan yang telah disediakan kerajaan,” katanya.

Waheedah turut menegaskan gerak kerja tersebut tidak terhad kepada kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) semata-mata, malah meliputi semua kawasan termasuk yang dianggap kubu lawan.

“Saya bukan hanya melawat pengundi BN atau kawasan putih. Saya masuk ke semua kawasan kerana bantuan kerajaan adalah untuk rakyat.

“Ramai wanita sebenarnya tidak mengetahui hak mereka atau peluang yang disediakan kerajaan. Wanita adalah pengurus ekonomi keluarga. Apabila mereka mengetahui saluran bantuan yang betul, mereka mampu memperkukuhkan kesejahteraan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN telah menyediakan pelbagai platform dan inisiatif bagi membantu rakyat, justeru kestabilan pentadbiran perlu dikekalkan supaya segala program kebajikan dan pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi pada PRN Johor agar memberikan mandat kepada BN demi menjamin kesinambungan dasar yang mengutamakan kebajikan rakyat.

“Pilihlah BN demi dapur keluarga kita dan demi masa depan anak-anak serta cucu kita. Kestabilan yang ada hari ini perlu diteruskan supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO