PRN Johor: Abdul Halim Seru Politik Matang, Ajak Rakyat Bijak Menilai
TEBRAU, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman menyeru semua pihak agar tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, kuasa yang diberikan oleh rakyat seharusnya digunakan untuk membawa pembangunan, membantu golongan memerlukan dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat, bukannya dijadikan alat meraih keuntungan politik.

“Saya minta mereka yang mempunyai kuasa jangan gunakan kuasa untuk kepentingan politik, tetapi gunakanlah demi kepentingan rakyat termasuklah dalam kepen PRN ini,” katanya ketika ditemui selepas program Sembang Santai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, pendekatan kempen BN sepanjang PRN ini tertumpu kepada rekod pencapaian serta manifesto yang mampu dilaksanakan, bukannya menyerang mana-mana pihak atau memainkan persepsi bagi meraih sokongan.
Katanya, pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti Bantuan Kasih, bantuan kepada golongan miskin dan program kebajikan lain membuktikan janji yang dibuat mampu dikotakan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Rakyat hari ini boleh membuat perbandingan. Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan manifesto yang menjadi garis panduan untuk meneruskan pembangunan Johor sehingga mencapai matlamat menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar kempen pilihan raya dijalankan secara matang tanpa menyemai kebencian atau merosakkan pemikiran rakyat melalui fitnah dan persepsi yang tidak berasas.
Menurutnya, rakyat perlu menilai setiap maklumat dengan bijak dan tidak mudah mempercayai segala dakwaan termasuk yang tersebar di media sosial tanpa usul periksa.
Dalam tempoh akhir kempen, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata BN akan terus turun padang bagi menerangkan manifesto serta kesinambungan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Beliau berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi mengekalkan keyakinan pelabur, meneruskan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan seluruh rakyat. – UMNO Online
