Jentera BN Kota Iskandar Dipergiat Santuni Pengundi Hingga Hari Akhir
ISKANDAR PUTERI, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menegaskan gerak kerja jentera parti akan dipergiatkan sepanjang empat hari terakhir kempen bagi memastikan tiada pengundi tercicir menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk pertemuan bersama masyarakat berbilang kaum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pengukuhan gerak kerja di peringkat akar umbi.

“Dari segi fizikal kita sudah lakukan, perjumpaan dengan pelbagai bangsa termasuk NGO juga telah diadakan. Dalam tempoh akhir ini, kita akan menggerakkan jentera untuk terus menyantuni pengundi.
“Call centre juga digerakkan supaya tidak ada yang tertinggal dan semua pengundi dapat disantuni sebaik mungkin,” katanya.
Menurut beliau, DUN Kota Iskandar merupakan kawasan yang mencabar dengan jumlah pengundi yang besar iaitu hampir 132,000 orang meliputi pelbagai latar belakang termasuk penduduk kampung, kawasan perumahan, taman serta institusi pengajian tinggi.
Katanya, pendekatan turun padang secara menyeluruh perlu diteruskan memandangkan tempoh kempen yang semakin singkat.
“Kita perlu bersiap sedia kerana masa yang ada tidak panjang. Kita mahu memastikan semua pihak disantuni dan tidak ada pengundi yang tercicir.
“Komposisi pengundi Melayu dan bukan bumiputera di kawasan ini juga hampir seimbang. Kita tidak boleh terlalu yakin, sebaliknya jentera perlu terus mencari dan mendekati setiap pengundi kerana satu undi tetap penting,” katanya.

Dalam pada itu, Pandak berkata isu penyuraian trafik ke Singapura antara perkara yang telah berjaya ditangani dan sentiasa diberi perhatian memandangkan ramai penduduk di kawasan tersebut bekerja di republik berkenaan.
Beliau berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi telah mengambil tindakan turun padang bagi menangani isu berkenaan termasuk memperkemas urusan di pintu masuk antarabangsa melibatkan Jabatan Kastam dan Imigresen.
“Sebagai ADUN yang berada berdekatan dengan keadaan ini, saya akan terus membantu menyelesaikan permasalahan rakyat sebaik mungkin, khususnya berkaitan kesesakan dan kemudahan perjalanan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
