Semoga Ulang Tahun Ke-70 Terus Semarakkan Tekad Perkukuh Kemajuan FELDA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap sambutan Hari Peneroka FELDA dan ulang tahun ke-70 FELDA menjadi pemangkin untuk terus menyemarakkan tekad dalam memperkukuh kemajuan tanah rancangan itu demi kesejahteraan warga peneroka.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, jasa dan pengorbanan para peneroka menyumbang kemajan dalam ekonomi negara amat besar nilainya.

“Selamat menyambut Hari Peneroka FELDA dan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-70 kepada seluruh keluarga besar FELDA.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan peneroka dalam membuka tanah, membangunkan sektor perladangan serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara amat besar nilainya,” katanya.

Tambahnya, kejayaan FELDA selama tujuh dekad diasaskan oleh semangat gigih, cekal dan bersatu yang diwariskan oleh para peneroka.

“Semangat gigih, cekal dan bersatu yang diwariskan oleh para peneroka menjadi asas kepada kejayaan FELDA selama tujuh dekad.

“Semoga sambutan ulang tahun ke-70 ini terus menyemarakkan tekad untuk memperkukuh kemajuan FELDA, meningkatkan kesejahteraan warga peneroka serta melahirkan generasi yang terus membawa legasi kecemerlangan,” katanya lagi.

Untuk rekod, FELDA yang ditubuhkan pada 1956 telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta melahirkan komuniti peneroka yang menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan sektor perladangan negara.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO