Onn Hafiz Ingatkan Pengundi Muda Jangan Ulangi Kesilapan 2018

PARIT SULONG, 7 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh rakyat Johor khususnya golongan muda supaya membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi dan fakta, bukannya terpengaruh dengan fitnah serta dakyah yang disebarkan menerusi media sosial.

Beliau berkata, pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 perlu dijadikan iktibar agar rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan pelbagai janji yang gagal ditunaikan.

“Disebabkan media sosial, ada Facebook, Instagram, Threads dan sebagainya, saya risau ramai yang termakan dengan hasutan yang dibuat di pihak sebelah sana.

“Umur antara 18 tahun hingga 25 tahun adalah lingkungan umur yang dianggap kritikal. Sebab kalau kita tak mendidik mereka, saya takut peristiwa 2018 akan berulang kembali.

“Kita kena pastikan, dulu 2018 pihak lawan hasut anak-anak di luar dan mereka balik ke kampung mempengaruhi ibu-ibu dan ayah-ayah kita. Kali ini, kita kena mempengaruhi mereka pula. Kerana belah sana menghasut dengan amat dahsyat sekali,” katanya ketika berucap pada program ‘Kasi On Bersama MB Johor’ di Semerah, di sini, Isnin petang.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Zahid Zarik Khan, Pengerusi Parlimen Parit Sulong merangkap calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan, calon BN DUN Semerah Mohd Fared Mohd Khalid dan bekas Ahli MKT UMNO Tan Sri Noh Omar.

Turut hadir bekas calon Perikatan Nasional (PN)/Bersatu Datuk Ariss Samsudin dan Pakatan Harapan (PH)/Amanah Mohd Faizal Dolah yang menyatakan sokongan kepada BN.

Seterusnya, Onn Hafiz mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji pilihan raya kali ini seperti mana yang berlaku pada PRU 2018.

“PRU 2018 kita dijanjikan bulan dan bintang. Ada yang janjikan tol percuma di Simpang Renggam tetapi sampai hari ini masih kena bayar. Dijanjikan mansuh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), harga minyak turun, namun tidak ditunaikan.

“Sebab itu saya minta Bangsa Johor jangan beri peluang perkara sama berulang kembali,” katanya.

Selanjutnya, Onn Hafiz berkata, rakyat perlu menilai sendiri pencapaian kerajaan negeri pimpinan BN yang telah membawa kestabilan politik, memperkukuhkan ekonomi negeri serta melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan untuk kesejahteraan Bangsa Johor.

Onn Hafiz turut berkata beliau menjadi sasaran kritikan daripada Pakatan Harapan (PH) selepas BN mengumumkan akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN Johor serta tidak bercadang membentuk kerajaan bersama Dap.

Mengulas persaingan di DUN Semerah, beliau menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon BN Mohd Fared Mohd Khalid serta berkata satu undi kepada calon PH Mohd Khuzzan Abu Bakar, adalah satu undi kepada Dap.

“Saya nak cakap terus terang, satu undi untuk Khuzzan adalah satu undi untuk Dap. Ini bukan isu perkauman. Kita ada rakan-rakan daripada MCA dan kita sangat menghormati mereka, tetapi ideologi yang dibawa oleh Dap itu kita tidak boleh terima di Johor.

“Mereka suka memainkan isu-isu 3R (bangsa, agama dan raja) sehingga menyentuh keharmonian masyarakat dan institusi Diraja.

“Sebab itu saya menyeru seluruh warga Semerah supaya menolak calon Pakatan Harapan dan memberikan mandat kepada Barisan Nasional demi meneruskan kestabilan serta pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pilihan raya bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, beliau berharap seluruh pengundi khususnya anak-anak muda membuat keputusan yang bijak dengan menilai rekod pencapaian kerajaan negeri, sekali gus memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO