Kejayaan ‘Perak Sejahtera 2030’ Hasil Perancangan Jelas, Usaha Berterusan Semua Pihak
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifakan kejayaan pelan Perak Sejahtera 2030 adalah hasil daripada perancangan jelas dan usaha berterusan semua pihak.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Perak kini telah menjadi antara negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia melalui pelaksanaan pelan tersebut.

“Sepanjang empat tahun pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030, banyak yang telah kita capai.
“Prestasi ekonomi negeri terus mengukuh, pelaburan semakin meningkat dan Perak kini antara negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia.
“Semua ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil perancangan yang jelas serta usaha berterusan semua pihak,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata, adalah lebih penting untuk memastikan hasil pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada angka dan statistik. Apa yang lebih penting adalah bagaimana hasil pembangunan itu dapat dirasai oleh rakyat.
“Sebab itu kita terus memperhebatkan bantuan kebajikan rakyat, tingkatkan peluang pekerjaan, perkasakan program pendidikan dan TVET, mendaya upayakan usahawan, perumahan, kesihatan serta tingkatkan usaha menangani kos sara hidup rakyat.
“Semua usaha kita ini tak hanya terhenti di situ. Masih banyak yang perlu kita lakukan, perbaiki dan jayakan.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua, kita akan terus bekerja keras memastikan setiap perancangan yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada seluruh rakyat Perak. Mudah-mudahan segalanya dipermudah,” katanya lagi. – UMNO Online
