Kempen Dicemari Politik Kebencian, Bangsa Johor Bijak Menilai – Noor Azleen
JOHOR BAHRU, 7 Julai – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sepatutnya menjadi pentas menawarkan idea dan hala tuju terbaik untuk masa depan Bangsa Johor telah dicemari dengan politik kebencian, fitnah serta ugutan.
Beliau berkata, rakyat mengharapkan pertandingan idea dan penyelesaian kepada pelbagai isu, bukannya kempen yang dipenuhi kata-kata nista, momokan, tohmahan dan serangan peribadi.

“Kempen yang sepatutnya diwarnai dengan pelbagai idea segar dan tawaran mengenai masa depan indah impian Bangsa Johor, hanyalah dicemari dengan kata-kata nista, momokan, ugutan dan kata-kata keji.
“Kata orang, apa yang keluar dari mulut itu cerminan isi hati. Dua hari suntuk menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, tetapi yang keluar dari mulut semuanya tidak betul mengenai orang lain, bukannya apa yang mahu dibuat untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Noor Azleen berkata, lebih mengecewakan apabila terdapat pihak yang didakwa terperangkap dengan naratif kebencian ciptaan sendiri sehingga mengabaikan nilai akhlak yang sering dilaungkan.
“Bercerita tentang akhlak, tetapi tindakan dan apa yang keluar dari mulut menyerlahkan perangai sebenar. Cerita tentang reformis, tetapi yang keluar pelbagai jenis ugutan dan tohmahan kerana kuasa telah menguasai diri,”
katanya.
Beliau turut membidas pihak yang didakwa menggunakan isu berkaitan penjara sebagai bahan kempen politik.
“Yang dipenjara tak pernah pun minta dibebaskan melalui saluran pilihan raya. Yang dibebaskan dari penjara melalui saluran pilihan raya pula merasakan hanya pilihan raya satu-satunya jalan keluar untuk bebas dari penjara,”
katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Noor Azleen mengingatkan bahawa pangkat dan kuasa hanyalah bersifat sementara, manakala rakyat Johor cukup matang untuk membuat penilaian terhadap corak politik yang ditampilkan sepanjang kempen.
“Pangkat dan kuasa hanya sementara. Bangsa Johor tak mudah alpa. Bangsa Johor tak mudah digula-gulakan. Kepada Allah Berserah,” katanya lagi. – UMNO Online
