Jalan Terus Umpama ‘Kereta Auto’, Israk Tingkatkan Momentum Kempen

TANJUNG PIAI, 7 Julai – Barisan Nasional (BN) terus menerima sokongan yang positif sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus menyuntik keyakinan jentera untuk meneruskan gerak kerja sehingga hari pengundian.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Kukup, Hj Israk Abdullah berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan apabila pelbagai program yang diadakan terus mendapat kehadiran penduduk setempat.

UMNO-Online yang mengikuti secara dekat walkabout beliau di Pontian Jaya dan Pontian Perdana mendapati masyarakat setempat cukup selesa dengan kehadiran calon BN bersama jentera sepanjang kempen yang kini memasuki hari ke sepuluh.

“Alhamdulillah, kita mendapat sokongan yang sangat baik. Walaupun jadual kempen padat sehingga lewat malam, jentera dan penyokong masih terus bekerja serta turun bertemu rakyat.

“Tempoh berkempen masih berbaki beberapa hari dan kita akan terus menggandakan usaha. Kalau kereta ‘gear auto’ akan jalan terus dan insya Allah kita akan terus lipatgandakan sehingga saat-saat akhir berkempen,” katanya.

Dalam pada itu beliau melihat tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba membawa pelbagai isu nasional dan sebagainya pada PRN ini adalah tindakan yang terdesak.

“PRN Johor adalah untuk menentukan masa depan negeri Johor. Rakyat Johor lebih memahami keperluan negeri ini dan tahu prestasi kerajaan negeri yang telah mentadbir dengan baik sejak empat tahun lalu.

“Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun akan datang, Johor akan terus berkembang dengan pelbagai agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi di DUN Kukup agar memberikan mandat kepada BN berdasarkan rekod pencapaian dan perkhidmatan yang telah dibuktikan.

“Saya merayu kepada seluruh pengundi di kawasan Tanjung Kukup supaya memberikan sokongan kepada BN kerana prestasi dan hasil kerja yang telah kita tunjukkan sepanjang lebih empat tahun mentadbir serta memberikan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO