Hasni, Sumali Semarakkan Kempen BN Di Benut

PONTIAN, 7 Julai – Kehadiran mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang sepentas bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan, malam tadi menjadi suntikan semangat kepada jentera dan penyokong parti menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Program yang dihadiri ratusan penduduk itu memperlihatkan kesepaduan kepimpinan BN dalam usaha memperkukuhkan keyakinan rakyat agar terus memberikan mandat kepada parti berkenaan bagi meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan di Johor.

Dalam ucapannya, Mohd Sumali merakamkan penghargaan kepada Hasni atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat Benut.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad atas segala sumbangan dan khidmat beliau kepada rakyat Benut selama ini. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar, berpengalaman dan banyak berjasa kepada negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Ir Hasni yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ADUN Benut menyeru seluruh pengundi di kawasan berkenaan agar memberikan sokongan padu kepada Mohd Sumali Reduan sebagai calon BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan itu dapat diteruskan.

Menurut beliau, sudah tiba masanya amanah sebagai wakil rakyat diserahkan kepada kepimpinan baharu yang diyakini mampu meneruskan legasi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cemerlang.

“Saya yakin Datuk Mohd Sumali Reduan mempunyai keupayaan, pengalaman dan komitmen untuk meneruskan segala usaha yang telah kita mulakan. Malah, saya percaya beliau mampu membawa Benut melangkah lebih jauh demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hasni turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Benut sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang beliau menggalas amanah sebagai wakil rakyat.

“Saya hanyalah manusia biasa. Jika sepanjang saya berkhidmat terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan, saya memohon ribuan ampun dan maaf. Segala yang saya lakukan adalah dengan niat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Benut,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong supaya terus mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan individu kerana kekuatan UMNO dan BN menjadi asas kepada kestabilan politik serta kemakmuran negeri.

“Saya menyeru seluruh rakyat Benut agar memberi kepercayaan kepada Datuk Mohd Sumali Reduan dan seluruh calon BN. Pilihan ini bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, tetapi memastikan kesinambungan kepimpinan yang mampu membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) serta meneruskan pembangunan dan kebajikan yang telah dinikmati selama ini,” katanya.

Beliau turut menggesa seluruh jentera BN agar terus menggandakan usaha sepanjang baki tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan parti di DUN Benut sekali gus menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil demi masa depan Bangsa Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO