PRN Johor: Veteran UMNO Selar Kempen Serang Peribadi, Dakwa Pembangkang Hilang Arah

ENDAU, 7 Julai – Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa, menyelar tindakan pihak lawan yang didakwa terus menjadikan fitnah, tuduhan dan serangan peribadi sebagai modal utama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau turut menyifatkan pendekatan itu sebagai bukti ketandusan idea dan kegagalan menawarkan hala tuju yang meyakinkan rakyat.

Jelasnya, ketika Johor memerlukan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik, pihak lawan sebaliknya lebih gemar mengheret isu yang langsung tidak berkaitan dengan masa depan negeri.

“Rakyat hari ini mahu tahu siapa yang mampu mentadbir Johor, bukannya siapa yang paling kuat melemparkan tuduhan. Ini PRN bukannya pentas menyebarkan persepsi, fitnah dan kebencian. Kalau benar mahu menjadi kerajaan, bentangkan manifesto, jelaskan agenda dan yakinkan rakyat dengan idea dan janganlah copy paste manifesto Barisan Nasional (BN).

“Hentikan budaya menyalahkan orang lain. Rakyat sudah semakin bijak menilai. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan permainan politik yang hanya pandai menuding jari tetapi kosong penyelesaian.

“Itu satu tuduhan yang tidak berasas langsung. Kalau hendak berkempen, berkempenlah secara matang dan berhikmah. Apa kaitannya dengan individu-individu tertentu,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mersing Kanan.

Turut hadir Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustafa Yaakob; Pengerusi Veteran UMNO Mersing, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi PDM Mersing Kanan Ahmad Daud; Timbalan Pengerusi Abdul Rahman Salim dan pengundi-pengundi.

Othman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, menjelaskan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah dilakui keupayaan sebenar menerusi pelbagai pencapaian dan inisiatif yang dapat dirasai sendiri oleh rakyat di seluruh negeri.

“Hakikatnya, Menteri Besar Johor yang sentiasa bekerja dan hasilnya dapat dilihat sendiri oleh rakyat. Walaupun masih muda, beliau memimpin satu pasukan yang tersusun, berwibawa dan fokus membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi.

“BN pula tampil dengan 56 calon yang bergerak sebagai satu pasukan mantap, lengkap dengan perancangan serta komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan negeri. Itu bezanya antara politik bekerja dan politik mencari salah orang lain,” tegasnya.

Othman turut mengingatkan bahawa gelanggang demokrasi telah dibuka dan semua parti sepatutnya bertanding secara bermaruah, bukannya menjadikan kempen sebagai pentas menyerang peribadi.

“Kalau benar yakin mendapat sokongan rakyat, bertandinglah secara berakhlak dan bermoral. Jangan jadikan fitnah sebagai senjata.

“Pengundi hari ini menilai berdasarkan rekod, bukan retorik. Sebab itu keyakinan mereka terus memihak kepada BN yang telah membuktikan prestasi melalui pembangunan pesat, peluang pekerjaan, kemajuan pendidikan, pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta kejayaan membawa pelaburan asing ke Johor.

Tambah Othman lagi, Bangsa Johor semakin matang dalam menilai antara pemimpin yang benar-benar bekerja dengan mereka yang sekadar lantang bermain persepsi.

“Itulah bukti yang Bangsa Johor nampak dan rasai. Rakyat tidak mahu politik yang hanya pandai mencipta persepsi, tetapi gagal menawarkan penyelesaian. Johor memerlukan sebuah kerajaan yang bekerja, bukan pembangkang yang hanya tahu menuding jari,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO