Onn Hafiz Bidas Naratif Dan Hasutan PH, PRN Johor Tiada Kaitan Bebaskan Najib
PARIT SULONG, 7 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas naratif yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) bertujuan mahu membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Tegas Onn Hafiz, itu adalah contoh hasutan yang dilaung-laungkan oleh PH sempena kempen PRN Johor ini dan fakta sebenar ia diadakan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Tak ada kena-mengena dengan Datuk Seri Najib. Ini antara contoh hasutan yang nak dibuat kepada rakyat, nak bagi orang marah, nak bagi orang benci.
“Tapi bangsa Johor tak begitu. Kita lebih cerdik daripada apa yang dia fikirkan. Bagi saya, itulah cara mereka daripada dulu. Menghasut dan menjanjikan bulan bintang.
“Itu strategi mereka daripada dulu dan mentaliti pembangkang. Eelok jadi pembangkang sahaja,” katanya kepada media selepas program ‘Kasi On Bersama MB Johor’ di Semerah, di sini petang tadi.
Manakala mengulas mengenai debat bersama calon PH Maszlee Malik yang dahulunya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Onn Hafiz menyifatkan mereka bukan bertanding di kerusi yang sama pada PRN ini.
“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia lari dari Simpang Renggam, kan?
“Jadi, kalau dia nak berdebat ataupun dialog, dia pergilah dengan orang di sana (Puteri Wangsa). Apa kena-mengena dengan kawasan saya?
“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak bagi tol percuma, sampai sekarang tak tunai,” katanya lagi.
Manakala dalam perkembangan yang berkaitan, Onn Hafiz teruja melihat jentera BN khususnya di kawasan Semerah yang sangat bersemangat dan ia menunjukkan satu momentum yang cukup baik untuk parti bagi menghadapi PRN ini. – UMNO ONLINE
