Mohamad Hasan Rayu Pengundi Awal Kekalkan Sokongan Kepada BN Demi Kestabilan Johor
PULAI, 6 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merayu pengundi awal khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar terus memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Beliau berkata, sokongan daripada pengundi awal amat penting kerana ia mampu memberikan momentum positif kepada BN dalam menghadapi hari pengundian.

“Undi awal, kalau dulu kita mendapat sokongan yang baik daripada anggota tentera. Saya mohon anggota tentera dan juga pasukan Polis Diraja Malaysia memberikan sokongan yang sama kepada calon-calon BN kerana ia akan mewujudkan keadaan kestabilan politik di negeri Johor.
“Kestabilan ini menjadi pilihan utama para pelabur untuk terus datang melabur di negeri ini,” katanya kepada media ketika mengiringi calon BN DUN Kempas, Datuk Ramli Bohani, pada program kempen di Kempas, hari ini.
Mohamad berkata, setiap pengundi mempunyai pertimbangan sendiri dalam membuat pilihan, namun berharap mereka melihat prestasi pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan berjaya membawa kemajuan kepada Johor.
“Mereka mempunyai pandangan dan akan membuat keputusan tersendiri. Saya harap mereka melihat sendiri keadaan di negeri Johor dan bersama-sama Bangsa Johor untuk mengekalkan kerajaan BN pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Dalam hal ini beliau turut melahirkan keyakinan bahawa rakyat Johor semakin selesa dengan pentadbiran sedia ada serta manifesto yang dibawa BN yang memberi fokus kepada meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Mohamad yang juga menteri luar negeri berkata demikian selepas program ramah mesra bersama pengundi di DUN Kempas yang turut disertai calon BN, Datuk Ramli Bohani, hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan sambutan terhadap calon BN bagi DUN Kempas, Datuk Ramli Bohani, amat memberangsangkan dan momentum tersebut perlu diteruskan sehingga hari pengundian pada 11 Julai.

“Yang penting, apabila menang nanti, teruslah turun padang dan berkhidmat kepada rakyat. Apabila sentiasa bersama rakyat, lebih mudah untuk mendapatkan kepercayaan mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengulas peluang BN pada PRN Johor, Mohamad enggan membuat ramalan jumlah kerusi yang mampu dimenangi, namun optimis BN berada pada landasan terbaik untuk kembali membentuk kerajaan negeri dan meneruskan pentadbiran seperti sebelum ini.
Sebanyak 64 pusat mengundi awal bagi PRN Johor ke-16 dibuka tepat 8 pagi ini bagi membolehkan 24,751 anggota keselamatan serta pasangan menunaikan tanggungjawab mereka. – UMNO Online
