Mohd Jafni Perbetul Fakta PMX, Tegaskan Johor Giat Laksana Agenda Rumah Mampu Milik

KULAI, 6 Julai – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan dakwaan Perdana Menteri Kesepuluh bahawa harga rumah di Johor tinggi kerana kerajaan negeri gagal menyediakan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan komitmen yang tinggi dalam memastikan rakyat memiliki kediaman mampu milik melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun 2022.

“Kalau hendak bercakap mengenai isu perumahan di Johor, biarlah berdasarkan fakta yang betul dan lengkap. Saya rasa maklumat yang disampaikan itu langsung tidak tepat.

“Sejak tahun 2022 sehingga suku pertama 2026, kerajaan negeri telah berjaya menyiapkan dan menyerahkan kunci kepada 21,412 unit Rumah Mampu Milik Johor,” katanya menerusi satu kenyataan video yang disiarkan di laman sosialnya di Facebook, TikTok dan Threads.

Jelas beliau, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kategori rumah mengikut kemampuan rakyat dengan harga serendah RM42,000 dan RM50,000 untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah, RM100,000 bagi pendapatan sehingga RM6,000, RM150,000 bagi pendapatan sehingga RM8,000 serta rumah berharga sehingga RM300,000 bagi isi rumah berpendapatan RM10,000.

Mohd Jafni yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai turut memaklumkan bahawa Johor kini sedang membangunkan projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor, antara projek perumahan rakyat terbesar di negeri itu melibatkan 2,600 unit kediaman di kawasan Kota Iskandar dalam kawasan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).

Menurut beliau, projek tersebut menawarkan rumah berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan Rumah Mampu Milik Johor tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama, malah turut diperluaskan ke daerah seperti Mersing, Kota Tinggi dan Pontian bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

“Janganlah digambarkan seolah-olah Johor tidak menyediakan Rumah Mampu Milik. Itu tidak betul dan maklumat tersebut tidak tepat.

“Kalau hendak mengetahui keadaan sebenar, tanyalah rakyat Johor yang telah pun menerima kunci rumah mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri menyasarkan 8,000 lagi unit Rumah Mampu Milik Johor akan siap menjelang suku keempat tahun 2026, sekali gus memperkukuhkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman berkualiti dan mampu dimiliki demi kesejahteraan Bangsa Johor. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO