Akta GSA Perlu Diubah, Isu Perumahan FELDA Perlu Diselesaikan – Ahmad Maslan

SEDILI, 6 Julai – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyarankan Akta GSA (Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 atau Akta 530) dipinda untuk membolehkan rumah dapat dibina lebih daripada sebuah rumah di atas tapak yang dimiliki oleh peneroka sebanyak suku ekar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, masyarakat FELDA telah sekian lama menantikan pindaan Akta GSA bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas lot kediaman peneroka yang berkeluasan kira-kira suku ekar.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mampu menjadi penyelesaian tuntas kepada isu perumahan yang membelenggu generasi kedua FELDA sejak sekian lama.

“Masyarakat Felda sudah lama menunggu dan harap Akta GSA dapat dipinda bagi membolehkan dibina lebih daripada sebuah rumah di atas tapak yang ada, yang dimiliki oleh peneroka sebanyak suku ekar. Tapak itu ada rumah yang sekarang ini tidak berapa besar.

“Saya pernah mencadangkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tentang perkara itu supaya boleh dibina lebih daripada satu rumah di atas tapak rumah yang sedia ada. Maka pada ketika itu, banyaklah perkara dapat diselesaikan, terutamanya bagi masalah rumah generasi kedua.

“Jadi apabila kami sudah tidak berada di dalam FELDA, kami harap Akta GSA dapat dipinda semula. Dalam akta tersebut menyatakan bahawa hanya boleh membina sebuah rumah, “to build a house on the plot of land”. Sepatutnya tambahlah ‘s’ iaitu “to build house’s on the plot of land”,” katanya.

Turut hadir pada majlis sembang santai
dan walkabout bersama warga Felda Bukit Aping Timur, calon BN bagi DUN Sedili, Muszaide Makmor serta pengundi-pengundi di Felda tersebut.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan, pindaan itu akan memberi ruang kepada pemilik tanah FELDA untuk mengubah suai dan memperluaskan rumah sedia ada, termasuk memanjangkannya ke bahagian belakang, kiri dan kanan mengikut keperluan keluarga.

“Perkara sebegini perlu dibawa ke Dewan Rakyat, Parlimen. Kalau perkara itu dibawa, maka ianya boleh dibina rumah daripada rumah sekarang, misalnya dipanjangkan ke belakang, dipanjangkan ke kiri serta ditambah ke kanan.

“Pembinaan rumah tersebut dapat mengatasi segala permasalahan perumahan bagi generasi kedua ini dapat diatasi dengan mudah serta boleh diselesaikan dengan pantas,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memberi perhatian serius terhadap cadangan pindaan berkaitan FELDA demi menjamin kebajikan serta masa depan generasi peneroka.

“Itu gesaan saya supaya pihak Jabatan Perdana Menteri, terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang-orang yang menjaga FELDA ini memikirkan perkara itu secara serius,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO