Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pengkalan Balak Dijadualkan Siap Tahun Hadapan
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan sebanyak empat projek di kawasan Parlimen Masjid Tanah bagi menangani isu hakisan pantai dan banjir pantai dengan kos keseluruhan sebanyak RM35.67 juta.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata antara projek utama yang sedang dilaksanakan adalah projek pengawalan hakisan pantai di Pengkalan Balak, Daerah Alor Gajah dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta.
“Sehingga Mei 2026, projek ini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 75 peratus dengan perbelanjaan berjumlah RM19 juta dan dijadualkan siap pada 9 Januari 2027.
“Skop projek merangkumi kerja-kerja penyuburan pantai, pembinaan pemecah ombak serta kerja-kerja berkaitan bagi mengurangkan kadar hakisan pantai. Setelah siap kelak, projek ini dijangka dapat melindungi kira-kira 2.6 kilometer garis pantai daripada ancaman hakisan, melebarkan pantai daripada sekitar 10 meter kepada 50 meter,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkenaan status fizikal projek pengawalan hakisan pantai di sepanjang pantai dalam Parlimen Masjid Tanah termasuk perincian peruntukan yang dibelanjakan, garis masa siap projek dan keberkesanan projek dalam mengurangkan risiko hakisan pada masa jangka panjang.
Sementara itu Ahli Parlimen Lipis itu menambah projek menaiktaraf benteng pantai dan kerja-kerja berkaitan bagi mengatasi fenomena air pasang besar di Tanjung Bidara, Daerah Alor Gajah juga dilaksana melibatkan kos sebanyak RM3.19 juta.
Katanya sehingga Mei 2026, projek ini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 95 peratus dengan perbelanjaan berjumlah RM2.83 juta dan dijangka siap pada 14 Ogos 2026, skop projek melibatkan pembinaan dan penaiktarafan struktur perlindungan pantai, kerja-kerja kawalan hakisan serta komponen berkaitan bagi mengurangkan risiko banjir pantai dan hakisan.
“Di samping itu, dua projek pengawalan hakisan pantai telah siap di kawasan Parlimen Masjid Tanah, iaitu Projek Mencegah Hakisan Pantai Telok Gong, Alor Gajah, Melaka melibatkan kos sebanyak RM2 juta; dan Kerja-Kerja Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Linggi, Daerah Alor Gajah, Melaka melibatkan kos sebanyak RM485 ribu.
“Secara keseluruhannya, projek-projek tersebut direka bentuk untuk meningkatkan tahap perlindungan pantai dalam jangka panjang melalui pengurangan kadar hakisan, pengukuhan garis pantai serta perlindungan terhadap penempatan penduduk, infrastruktur awam dan aktiviti ekonomi pesisir.
“PETRA melalui JPS akan terus memantau pelaksanaan secara rapi bagi memastikan projek-projek ini mengikut jadual yang telah ditetapkan,” ujar beliau. – UMNO Online
