SWP Dan Skuad Sayang Terus Perkukuh Kebajikan Demi Bangsa Johor – Dr Masliha
PENAWAR, 6 Julai – Komitmen Barisan Nasional (BN) dalam mendahulukan kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi Program Ziarah Kasih dan Pemeriksaan Kesihatan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, yang bukan sahaja membawa perkhidmatan kesihatan terus ke rumah penduduk, malah memperkukuhkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat.
Program yang diterajui Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) Dr. Masliha Harun, dengan kerjasama Pengerusi Skuad Sayang, Hisham Suhaily, turut disertai Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sebagai tanda sokongan padu kepada calon BN bagi DUN Penawar, Fauziah Misri, yang komited memperjuangkan kebajikan ‘Bangsa Johor’.
Menurutnya, pendekatan ziarah dari rumah ke rumah membuktikan komitmen SWP dan Skuad Sayang dalam menyantuni masyarakat, khususnya warga emas, pesakit terlantar, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan.
“Menerusi pendekatan turun padang dari rumah ke rumah, rombongan SWP dan Skuad Sayang terus menyantuni penduduk, khususnya warga emas, pesakit terlantar, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan perhatian.
“Selain menjalankan pemeriksaan kesihatan asas, mereka turut meluangkan masa mendengar sendiri denyut nadi rakyat, memahami cabaran yang dihadapi serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.
“Budaya turun padang dan menyantuni rakyat tidak boleh terhenti, sebaliknya perlu diteruskan secara konsisten agar setiap lapisan masyarakat merasai kehadiran pemimpin yang sentiasa prihatin, mudah didekati dan bersedia membantu pada setiap masa,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Dr. Masliha yang juga Exco Wanita UMNO berkata, pendekatan menyantuni rakyat secara bersemuka merupakan kaedah paling berkesan bagi memastikan tiada suara yang terpinggir dan setiap permasalahan rakyat dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Program seperti ini bukan sekadar membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, malah menjadi bukti bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Apabila kita turun sendiri bertemu rakyat, kita dapat memahami keadaan sebenar mereka, mendengar harapan mereka dan mencari penyelesaian yang lebih tepat terhadap setiap isu yang dibangkitkan,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, hubungan erat antara pemimpin dan rakyat perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan menyeluruh.
“Hubungan yang rapat antara pemimpin dan rakyat merupakan kunci kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan serta menyeluruh.
“Apabila kita sentiasa bersama rakyat, lebih mudah untuk memahami keperluan mereka dan memastikan setiap bantuan serta inisiatif benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Katanya lagi, program itu turut disertai barisan Exco Wanita UMNO Malaysia serta Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian angkat yang berganding bahu menjayakan misi kebajikan tersebut.
“Kehadiran mereka bukan sekadar memperkukuhkan gerak kerja jentera, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan kesatuan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” ujarnya.
Ujarnya lagi, program tersebut membuktikan bahawa khidmat kepada rakyat bukan sekadar janji, tetapi diterjemahkan melalui tindakan, keprihatinan dan kesediaan pemimpin BN untuk sentiasa berada bersama masyarakat. – UMNO Online
