PIKAT: Wadah Sampaikan Ilmu, Erat Hubungan ATM Dengan Masyarakat
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) yang dianjurkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) bersama pihak masjid menjadi wadah untuk menyampaikan ilmu di samping mengeratkan hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hubungan tersebut adalah penting agar masyarakat memahami peranan mereka dalam mempertahankan negara.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menyempurnakan Majlis Penutupan sempena Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) di Masjid Al-Faizin, Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi pada Ahad.
“Terima kasih kepada KAGAT, pihak masjid dan semua yang telah menjayakan program ini. Program seperti ini bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah menjadi wadah penting untuk mengeratkan hubungan antara ATM dengan masyarakat.
“Hubungan ini penting supaya masyarakat memahami bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan terletak di bahu ATM semata-mata. Rakyat juga mempunyai peranan melalui semangat patriotisme, perpaduan dan kesediaan untuk bersama mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ATM sentiasa bersiap siaga mempertahankan kedaulatan negara mendepani cabaran keselamatan yang kian kompleks.

“Cabaran keselamatan hari ini semakin kompleks. Ia bukan lagi hanya melibatkan peperangan konvensional, malah merangkumi ancaman bukan tradisional seperti perubahan iklim, keselamatan makanan, kecerdasan buatan (AI), peperangan hibrid dan peperangan kognitif yang boleh mempengaruhi pemikiran serta memecahbelahkan masyarakat.
“Pendekatan melalui agama juga amat penting dalam membina masyarakat yang bersatu dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Program seperti Kursus Pengurusan Jenazah bukan sahaja memberi ilmu fardu kifayah, malah memperkukuh nilai, akhlak dan perpaduan dalam masyarakat.
“Dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks, ATM sentiasa bersiap siaga mempertahankan kedaulatan negara. Pada masa yang sama, rakyat perlu terus bersatu, mengelakkan perpecahan dan bersama-sama memelihara keamanan negara.
“Dalam pertahanan, inilah yang dimaksudkan dengan ‘credible deterrence’. Apabila negara memiliki angkatan tentera berkeupayaan dan rakyat yang bersatu padu, pihak lain akan berfikir berkali-kali sebelum melakukan sebarang ancaman terhadap negara,” katanya lagi. – UMNO Online
