Maszlee Bukan Calon MB, Mengapa Cabar Onn Hafiz?
JOHOR BAHRU, 6 Julai – Barisan Nasional (BN) Johor Bahru menyifatkan dakwaan kononnya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, takut berdebat sebagai naratif politik murahan yang sengaja dimainkan bagi mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan BN Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, beliau sama sekali tidak memahami naratif yang cuba dibina oleh pihak tertentu kerana Onn Hafiz sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang petah berhujah, berwibawa ketika berucap dan sentiasa menjawab setiap isu secara tersusun serta berfakta.
Menurut beliau, adalah tidak wajar membuat kesimpulan bahawa Onn Hafiz takut berdebat hanya kerana mempunyai komitmen rasmi yang telah dijadualkan lebih awal.

“Persoalan yang lebih penting ialah, siapakah sebenarnya Maszlee Malik dalam konteks PRN Johor?
“Adakah beliau calon Menteri Besar Pakatan Harapan? Setakat ini, Pakatan Harapan sendiri masih belum mengumumkan calon Menteri Besarnya,” katanya.
Beliau berkata, jika Maszlee bukan calon Menteri Besar, mengapa perlu diwujudkan persepsi bahawa calon Menteri Besar Johor daripada Barisan Nasional wajib berdebat dengan beliau.
Menurut Ahmad Solehin, lazimnya perdebatan mengenai hala tuju sesebuah negeri lebih bermakna apabila melibatkan individu yang menawarkan mandat kepimpinan yang setara kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya pihak tertentu tidak cuba mengalih perhatian rakyat dengan memainkan naratif “takut berdebat” semata-mata untuk mencipta persepsi politik.
“Tumpuan rakyat Johor hari ini bukan kepada gimik politik, sebaliknya mereka sedang menilai siapa yang mempunyai rekod mentadbir, siapa yang menawarkan hala tuju yang jelas dan siapa yang benar-benar layak memimpin negeri ini.
“Itulah perkara yang lebih penting daripada sekadar mencipta persepsi politik,” tegas beliau lagi. – UMNO Online
