Prestasi Cemerlang Onn Hafiz Bukti Johor Di Landasan Tepat – Ahmad Zahid

TANGKAK, 6 Julai – Prestasi cemerlang Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang empat tahun menerajui pentadbiran negeri menjadi bukti jelas bahawa Johor berada di landasan tepat untuk terus berkembang di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Onn Hafiz merupakan pemimpin muda, beliau telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan membawa pencapaian yang membanggakan, khususnya dalam aspek pelaburan dan peluang pekerjaan.

“Datuk Onn Hafiz walaupun muda, kita dapati prestasi beliau cukup baik, cukup bagus. Sepanjang empat tahun lalu, Johor berjaya menarik pelaburan keseluruhan berjumlah RM270 bilion, manakala RM110 bilion direkodkan pada tahun lalu sahaja.

“Apabila pelaburan masuk ke Johor, lebih banyak industri dapat diwujudkan dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom di Kompleks Sukan dan Komuniti Serom, Kampung Pulau Penarek Sg. Mati di sini, petang Ahad.

Menurut beliau, hasil kemasukan pelaburan tersebut, kira-kira 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk anak-anak Johor sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, Ahmad Zahid berkata, sekiranya Onn Hafiz sekali lagi diberi kepercayaan menerajui kerajaan negeri, beliau menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan baharu pada penggal akan datang, termasuk 100,000 pekerjaan bergaji premium.

“Daripada 200,000 peluang pekerjaan itu, 100,000 adalah pekerjaan bergaji premium. Sebab itu anak-anak muda perlu merebut peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan Johor bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, malah melibatkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk penyediaan rumah rakyat, rumah mampu milik, bantuan kepada ibu tunggal serta pelbagai program yang menyantuni semua lapisan masyarakat.

“Semua kategori rakyat di Johor disantuni oleh Datuk Onn Hafiz dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menyeru rakyat supaya memberikan mandat besar kepada semua calon BN kerana kekuatan kerajaan negeri bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kalau Datuk Onn seorang sahaja menang, beliau tidak boleh menjadi Menteri Besar. Beliau mesti didukung oleh calon-calon BN yang dipilih rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

“Apabila BN menang besar di Johor, saya akan pastikan Kerajaan Johor akan terus seiring, sejalan dan seimbang dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO