Pembangunan Perumahan Rakyat Negeri Johor Sangat Seimbang – Ahmad Zahid

TANGKAK, 5 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan perumahan untuk rakyat di Johor dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan setiap lapisan rakyat mendapat manfaat.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan bagi golongan M40 dan T20, malah turut memperkasakan pembinaan rumah mampu milik serta kediaman khusus untuk golongan asnaf dan B40.

“Pembangunan perumahan untuk rakyat di Johor ini sangat seimbang. Bukan hanya kawasan-kawasan untuk M40 dan T20, tetapi turut membina rumah-rumah mampu milik,” katanya kepada media.

“Terdapat peruntukan RM100 juta bagi pembinaan rumah-rumah tanpa bayaran khusus untuk para asnaf. Dan ini merupakan satu optik yang baik,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama masyarakat Cina di medan selera di sini, petang tadi.

Tambah Ahmad Zahid, di dalam manifesto BN Johor memperlihatkan satu jumlah yang lebih besar akan diperuntukkan untuk membina rumah-rumah bagi golongan B40.

Dalam perkembangan lain, beliau menghargai kenyataan kepimpinan Pas yang menyatakan sokongan kepada calon-calon BN daripada MIC dan MCA.

“Kita menghargai sokongan itu dan kita merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi atau kerjasama. Kita menghormati pendirian mereka dan berharap sokongan itu benar-benar menajdi kenyataan dan kita lihat di dalam kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai nanti,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO