Kekalkan BN, Jangan Hentikan Perjuangan ‘Maju Johor’ – Abdul Azeez
PULAI, 6 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyeru rakyat Johor supaya terus mengekalkan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik dan pembangunan negeri tidak terhenti.
Menurut beliau, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi masih memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang telah dimulakan sejak empat tahun lalu.
“Perjuangan Onn Hafiz belum selesai. Sebab itu saya minta rakyat Johor terus kekalkan undi seperti sebelum ini dan berikan sokongan kepada semua calon Barisan Nasional. Berilah peluang kepada kerajaan yang telah bekerja untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Kalau lima tahun pun kita tidak beri peluang kepada mereka untuk menyempurnakan agenda pembangunan, bagaimana rakyat mahu melihat hasil sepenuhnya? Jangan hentikan perjuangan yang sedang berjalan bagi ‘Maju Johor’,” katanya kepada UMNO Online selepas mengadakan perjumpaan bersama masyarakat India, di sini.

Beliau berkata, BN bukan parti yang hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya terus bersama rakyat walaupun pernah mengalami kekalahan.
“Kami adalah pejuang rakyat. Ketika menang kami bekerja untuk rakyat, ketika kalah pun kami tetap turun membantu masyarakat mengikut kemampuan yang ada. Itulah perjuangan sebenar Barisan Nasional,” katanya.
Dalam masa sama, Abdul Azeez telah menerangkan sejarah penubuhan parti-parti komponen BN kepada masyarakat India, khususnya golongan muda yang kurang mengetahui asal-usul perjuangan tersebut.
Beliau berkata, MIC dan MCA diwujudkan hampir 80 tahun lalu seiring dengan perjuangan UMNO bagi memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat pelbagai kaum.
“Saya cuma menjelaskan sejarah bahawa UMNO, MIC dan MCA telah bersama-sama membina negara sejak dahulu lagi. Saya tidak menyerang mana-mana parti. Saya hanya menyampaikan fakta sejarah kepada anak-anak muda supaya mereka memahami asas perjuangan Barisan Nasional.”
Katanya lagi, beliau turut mengajak masyarakat India menggunakan “tangan sakti” mereka di peti undi bagi memberi kemenangan kepada semua calon BN agar dapat terus berbakti kepada rakyat.
Mengulas mengenai DUN Perling, Abdul Azeez menyifatkan pencalonan wakil MIC, Pannir Selvam sebagai satu langkah bersejarah yang membuktikan komitmen BN memberi ruang kepada kepimpinan pelbagai kaum.
“Ini kali pertama calon daripada kaum India diketengahkan di Perling. Berilah peluang kepada beliau melakar sejarah. Kita juga melihat proses peremajaan kepimpinan sedang berlaku dalam MIC dan UMNO apabila semakin ramai anak muda diberi kepercayaan menjadi calon.”

Beliau turut memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan penyokong BN sepanjang kempen, termasuk penglibatan golongan belia dan kumpulan bermotosikal pelbagai kaum yang turun secara sukarela membantu berkempen.
“Dulu kita lihat kumpulan motosikal ini majoritinya orang Melayu, tetapi hari ini masyarakat India juga sanggup menggunakan duit minyak sendiri menjelajah Johor untuk menyampaikan mesej supaya rakyat terus mengekalkan kerajaan BN.
“Semangat rakyat sangat luar biasa. Saya sudah lebih 30 tahun dalam politik dan boleh melihat sendiri gelombang sokongan yang semakin kuat. Inilah keyakinan rakyat bahawa perjuangan membangunkan Bangsa Johor mesti diteruskan.”
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO tetap menghormati Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seperti yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, namun bagi Johor, rakyat perlu terus memberikan mandat kepada BN untuk memastikan kerajaan negeri kekal stabil dan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Di Johor, kita mahu rakyat kekalkan kerajaan Barisan Nasional. Jangan tebuk mana-mana kerusi yang telah dimenangi. Kekalkan kemenangan demi kestabilan, demi pembangunan dan demi masa depan Bangsa Johor.
“Peluang sudah diberikan semula kepada Barisan Nasional. Gunakan peluang ini untuk meneruskan legasi membantu rakyat dan memastikan Johor terus maju di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya lagi. – UMNO Online
