PRN: Pilih Kerajaan Yang Sudah Terbukti, Jangan Terpedaya Janji Manis – Norliza

JOHOR BAHRU, 6 Julai – Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor bukan sekadar dokumen pilihan raya, sebaliknya telah dibuktikan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang dinikmati rakyat sejak kerajaan negeri diterajui oleh BN, kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Beliau berkata, rakyat Johor perlu menilai rekod pencapaian kerajaan negeri yang telah melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan berbanding terpengaruh dengan janji-janji baharu yang belum tentu mampu ditunaikan.

“Manifesto BN Johor telah pun terbukti. Saya melihat manifesto pihak satu lagi terlalu banyak janji manis yang belum tentu boleh dicapai. Jadi saya rasa rakyat Johor tidak perlu ragu-ragu, teruskan sokongan kepada BN demi kesinambungan Johor Maju.

“Kita tidak pernah menabur janji yang tidak mampu ditunaikan. Apa yang dikata pasti dikota dan rakyat sendiri dapat melihat realitinya. Sebab itu jangan salah pilih, pilihlah kerajaan yang telah terbukti mampu menyampaikan hasil kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan program sembang santai bersama masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, hari ini.

Menurut beliau, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini perlu dijadikan medan untuk rakyat memberikan mandat semula kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Johor Maju memerlukan sokongan rakyat. Kita mahu rakyat memberi mandat semula kepada kerajaan negeri supaya Datuk Onn Hafiz dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab dengan lebih baik. Insya-Allah Johor akan menjadi lebih maju pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan dan serangan politik yang dimainkan pihak lawan sepanjang kempen, beliau berkata rakyat Johor cukup matang untuk membuat penilaian berdasarkan prestasi sebenar kerajaan negeri.

“Setiap hari kita melihat pelbagai tohmahan dan kata-kata di media sosial termasuk TikTok yang ditujukan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar. Tetapi rakyat Johor jangan pedulikan semua itu.

“Lihat sendiri perubahan yang berlaku. Kerajaan negeri telah membantu rakyat sejak sekian lama melalui pelbagai fasa bantuan daripada anak yang baru lahir sehinggalah kepada warga emas. Semua kategori mendapat perhatian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa antara bukti kejayaan kerajaan BN Johor ialah komitmen besar dalam sektor pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan kepada anak-anak Johor.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan biasiswa, pinjaman Yayasan Pelajaran Johor, bantuan pendaftaran awal ke institusi pengajian tinggi serta sumbangan Akaun Simpanan SSPN kepada anak-anak yatim sebagai persediaan masa depan pendidikan mereka.

“Johor merupakan antara negeri terbaik dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian. Begitu banyak inisiatif yang disediakan untuk melahirkan modal insan yang berjaya dan ini membuktikan kerajaan negeri benar-benar mengutamakan masa depan rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Norliza menyeru seluruh pengundi supaya membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan memberikan sokongan kepada calon-calon BN.

“Kita pilih kerajaan yang sudah terbukti berjaya, bukan sekadar memberi harapan tanpa realiti. Kalau tersalah pilih, bimbang perancangan besar untuk masa depan Johor akan terbantut.

“Saya menyeru seluruh rakyat Johor agar terus menyokong Barisan Nasional demi memastikan agenda Johor Maju dapat diteruskan dan negeri ini terus berkembang untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO