Jangan Gadai Kestabilan Johor Demi Janji Kosong PH – Muszaide Makmor

SEDILI, 6 Julai – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar Johor sehingga kini membuktikan gabungan itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar bersedia untuk mentadbir negeri ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaide Makmor berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan BN yang sejak awal lagi konsisten mengekalkan kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar kerana rekod pentadbiran beliau yang terbukti membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat Johor.

Menurut beliau, PH dilihat terus bercelaru apabila gagal mencapai kata sepakat mengenai siapa yang layak menerajui negeri sekiranya mereka diberi mandat.

“Yang peliknya, hari ini sebut Maszlee Malik bakal Menteri Besar, esok pula muncul nama lain. Sampai sekarang pun mereka masih gagal menamakan calon secara rasmi. Ini menunjukkan PH sendiri tidak yakin dengan barisan kepimpinan mereka.

“Sedangkan BN tidak pernah berganjak. Kita kekal dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana beliau telah membuktikan kemampuan mentadbir Johor dengan cemerlang. Rakyat mahukan kepimpinan yang stabil, bukannya politik yang dipenuhi percaturan dan perebutan kuasa,” katanya kepada UMNO Online.

Muszaide berkata, rakyat Johor tidak seharusnya terpedaya dengan pelbagai janji manis yang ditawarkan PH ketika musim pilihan raya kerana BN telah membuktikan prestasi melalui tindakan, bukannya sekadar retorik politik.

“Kita tidak menjual mimpi kepada rakyat. Apa yang dijanjikan telah dilaksanakan. Bantuan Kasih Johor (BKJ), pembangunan infrastruktur, penambahbaikan kemudahan awam serta pelbagai inisiatif untuk rakyat di bandar dan luar bandar semuanya menjadi bukti kerajaan BN bekerja, bukan sekadar berjanji.

“Sepanjang lebih empat tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN, terlalu banyak pembaharuan yang berjaya dilaksanakan. Kawasan luar bandar yang dahulunya kurang diberi perhatian kini menikmati pembangunan yang lebih tersusun hasil komitmen kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beliau menegaskan percubaan PH untuk menggugat kestabilan politik Johor hanya akan merencatkan momentum pembangunan yang sedang rancak berlangsung serta menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negeri ini.

“Kita tidak boleh mempertaruhkan masa depan Johor kepada sebuah gabungan yang masih gagal menentukan siapa ketua mereka sendiri. Bagaimana mereka mahu mentadbir negeri jika soal kepimpinan asas pun masih gagal diselesaikan?

“Rakyat Sedili bijak menilai. Mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya muncul membawa janji ketika pilihan raya. Sebab itu saya menyeru supaya rakyat terus memberikan mandat kepada BN demi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan,” ujarnya.

Muszaide turut memberi komitmen untuk terus menjadi wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi masyarakat dan memperjuangkan segala keperluan penduduk Sedili.

“Insya-Allah, jika diberikan kepercayaan sekali lagi, saya akan terus bekerja lebih kuat, mendengar setiap pandangan rakyat dan memastikan DUN Sedili terus muncul sebagai antara kawasan terbaik serta paling disegani di negeri Johor,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO