Salleh Ajak Warga Sabah Di Johor Pertahan Kestabilan, Beri Mandat Kepada BN

PASIR GUDANG, 5 Julai – Warga Sabah yang menetap dan menjadi pengundi di Johor diseru supaya terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan dan kemakmuran negeri dapat diteruskan.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Johor telah membuktikan bahawa kestabilan politik yang dinikmati selama ini berjaya menarik pelaburan, memperkukuh sektor perindustrian serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat termasuk warga Sabah yang mencari rezeki di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Pengundi Sabah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tasek Seri Alam dan kawasan flat berhampiran di Bandar Seri Alam, hari ini.

Menurut beliau, Johor sejak sekian lama menjadi antara pemacu ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan serta ruang perniagaan kepada ribuan anak Sabah yang berhijrah ke negeri itu untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Johor telah menyediakan sumber rezeki dan pelbagai peluang kepada ramai anak Sabah. Kerajaan yang stabil amat penting bagi memastikan negeri ini terus maju, menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menyeru warga Sabah yang berdaftar sebagai pengundi di Johor supaya menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi dan memberikan mandat kepada Barisan Nasional bagi memastikan kesinambungan kestabilan yang telah membawa pelbagai manfaat kepada negeri.

Tambah beliau, kestabilan politik yang berterusan bukan sahaja mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Sabah di Johor atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negeri dan berharap mereka akan terus bersama-sama menyokong kepimpinan Barisan Nasional yang mengutamakan kestabilan, pembangunan serta kemakmuran untuk semua.

Katanya lagi, sokongan rakyat kepada BN bukan sekadar menentukan kemenangan dalam pilihan raya, malah memastikan Johor terus berada pada landasan yang kukuh sebagai sebuah negeri yang stabil, progresif dan mampu menyediakan masa depan yang lebih baik kepada seluruh rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO