Jangan Tertipu ‘Copy Paste’ Manifesto, Nilai Rekod Kerja BN – Rozi Mamat
KOTA TINGGI, 5 Julai – Manifesto yang dibawa pihak lawan sekadar mengitar semula idea Barisan Nasional (BN), malah disifatkan hanya bertujuan memikat hati rakyat menjelang hari mengundi, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Ujarnya, penyediaan manifesto BN bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses yang panjang dan teliti menerusi beberapa siri bengkel serta libat urus dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan setiap tawaran benar-benar menepati keperluan rakyat.
“Untuk menghasilkan satu manifesto, kita mengadakan dua atau tiga siri bengkel dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai peringkat masyarakat. Ia bukan dibuat secara sambil lewa.
“Tetapi manifesto mereka, saya tidak pasti sama ada melalui proses yang sama atau tidak. Apa yang saya lihat, manifesto BN sudah lama siap dan dirancang. Bila dibandingkan kedua-duanya, banyak kandungannya seolah-olah hanya ‘copy paste’, cuma tukar ayat saja dan anggap setakat muat saja untuk memenangi hati rakyat.
“Yang pentingnya, jika rakyat Johor mahu melihat negeri ini lebih maju dan lebih baik pada masa akan datang, jangan tertipu dengan dakyah-dakyah yang menyedapkan telinga buat sementara,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Rozi turut menggesa rakyat Johor supaya membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian kerajaan BN, bukannya terpengaruh dengan janji yang disifatkan sebagai tiruan.
“Tengoklah ‘track rekod’ apa yang dilakukan oleh kerajaan BN di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sangat baik dan terbaik dalam negara.
“Kita mahu Johor terus bergerak ke hadapan. Sebab itu, berilah sokongan kepada BN demi kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kemakmuran negeri,” jelasnya.
Mengulas lanjut Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa kedua yang menyaksikan gerak kerja BN semakin tersusun dan berkesan.
“Melihat PRN Johor ini memasuki masa fasa kedua ianya semakin teratur. Jentera BN semakin memaham dengan gerak kerja masing-masing. Oleh sebab itu, saya yakin dan percaya BN Johor akan melakar sejarah yang terbaik untuk kali ini.
“UMNO Negeri Terengganu tidak memandang ringan. Ada tempat-tempat yang agak berat sikit, tapi sudah faham apa masalahnya. Kita sudah tahu melalui jentera dan juga calon-calon yang diberi tanggungjawab di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Kata Rozi lagi, UMNO Terengganu telah memberikan komitmen serta kerjasama sepenuhnya dalam membantu kempen BN di enam DUN di bawah seliaannya, demi memastikan kemenangan besar BN di Johor.
“Kita tahu apa masalahnya dan membantu daripada belakang. UMNO Negeri Terengganu telah memberi kerjasama yang semaksima yang baiklah untuk keenam-enam kawasan DUN yang jaga, bermula daripada Parlimen Mersing sehingga ke Pengeran,” ujarnya lagi. – UMNO Online
