Khidmat Berterusan Jadi Kekuatan BN Di Bukit Pasir – Fazli

MUAR, 5 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Mohd Fazli Mohd Salleh optimis rakyat akan terus memberikan mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan rekod khidmat dan pembangunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022.

Menurutnya, penerimaan rakyat sepanjang tempoh kempen amat positif kerana hubungan dengan masyarakat bukan bermula ketika musim pilihan raya, sebaliknya telah dibina melalui kehadiran berterusan di lapangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk penduduk setempat.

“Alhamdulillah, penerimaan rakyat sangat positif. Sebenarnya bukan baru dalam dua minggu ini kita berkempen, tetapi sudah lama turun padang dan bersama rakyat menyelesaikan pelbagai isu di kawasan.

“Sepanjang memegang portfolio Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, pelbagai usaha telah digerakkan untuk merancakkan pembangunan di Bukit Pasir, khususnya melalui penyediaan infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan,” katanya.

Jelasnya, kedudukan Bukit Pasir yang berada di antara Bandar Maharani yang akan membangun apabila wujud Maharani Energy Gateway dan Bandar Universiti Pagoh membuka peluang besar untuk pembangunan, justeru penyediaan jalan raya dan kemudahan asas perlu diberi keutamaan bagi menarik pembangunan perumahan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, kawasan Jorak antara lokasi yang diberi perhatian kerana berdepan penyusutan penduduk akibat penghijrahan, sekali gus memerlukan suntikan pembangunan agar dapat berkembang seiring dengan pembangunan di Hab Pagoh dan Bandar Muar.

Mengulas mengenai golongan muda, Fazli berkata pendidikan terus menjadi agenda utama sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRN 2022 apabila pelbagai bantuan kepada pelajar, termasuk bantuan melanjutkan pengajian dan komputer riba, telah dilaksanakan.

Beliau berkata inisiatif kerajaan negeri seperti Insentif Mahasiswa Anak Johor turut membantu memperkukuhkan hubungan dengan pengundi muda, di samping pendekatan melalui media sosial bagi memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan serta dasar kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi yang berada di luar Johor supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 11 Julai nanti.

Menurutnya, rakyat perlu menilai pelbagai inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan BN, termasuk Bantuan Kasih Johor dan Bakul Kasih Johor yang memberi manfaat kepada ramai keluarga di negeri ini.

“Saya berharap pengundi yang berada di luar Johor dapat pulang mengundi dan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional demi memastikan kesinambungan pembangunan serta kebajikan rakyat di Bukit Pasir dapat diteruskan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO