Insya Allah … Rakyat Johor Yakin Hala Tuju BN – Wan Rosdy
PONTIAN, 5 Julai – Pengundi di Johor dilihat semakin yakin dengan hala tuju yang dibawa Barisan Nasional (BN) kerana mahu kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri terus dipertahankan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat sepanjang tempoh berkempen apabila penerimaan pengundi terhadap calon-calon BN semakin positif.
“Alhamdulillah, pengundi nampak positif. Saya ucapkan terima kasih kerana mereka ingin melihat Johor terus maju di bawah agenda Maju Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kempen bersama calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Pulai Sebatang dan Benut.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata gerak kerja jentera parti dari Johor dan Pahang juga semakin mantap dengan pendekatan yang lebih tersusun serta teratur dalam mendekati para pengundi.
“Saya lihat jentera parti, sama ada daripada Johor sendiri ataupun daripada Pahang, makin hari makin meningkat. Alhamdulillah, gerak kerja mereka lebih tersusun, lebih teratur dan dapat mendekati pengundi.
“Namun begitu, masih ada lagi pengundi yang belum sempat kita santuni di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan. Saya harap semua jentera akan terus memperhebat usaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi sebelum menjelang hari pengundian pada 11 Julai,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar mengekalkan momentum kempen dan terus bekerja keras bagi memastikan setiap pengundi menerima penerangan mengenai tawaran serta agenda pembangunan yang dibawa BN menjelang hari pengundian.- UMNO Online
